JOHANNESBURG : Kes harian jangkitan Covid-19 di Afrika menunjukkan peningkatan secara mendadak sehingga tiga kali ganda minggu ini yang berkemungkinan disebabkan penularan varian Omicron.
Amaran itu dikeluarkan pakar epidemiologi terkemuka, Dr Salim Abdool Karim, pada taklimat media dengan Kementerian Kesihatan secara dalam talian.
Lebih 2,800 jangkitan direkodkan oleh Pasukan Pemantau Kesihatan semalam, sekali gus lebih tinggi berbanding minggu-minggu sebelum ini iaitu purata harian 500 kes dan 275 kes pada minggu sebelumnya.
“Kami boleh menjangkakan kemungkinan penularan yang lebih tinggi dan kami akan mendapat lebih banyak kes dalam tempoh yang singkat.
“Saya menjangkakan kita mengatasi lebih 10,000 kes sehari menjelang akhir minggu dan tekanan ke atas hospital dalam tempoh dua, tiga minggu akan datang,” katanya.
Terdahulu, varian baharu telah ditemui oleh saintis Afrika Selatan yang dipercayai mampi bermutasi dengan sangat pantas dan peningkatan kes mendadak disebabkan jangkitan di negara paling teruk terjejas di benua Afrika itu.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Omicron masih dalam penilaian mengenai sejauh mana ia mampu memudaratkan, walaupun pakar bersetuju ia boleh merebak dengan cepat.
Berpuluh negara kini melaksanakan larangan perjalanan ke atas Afrika Selatan dan negara jirannya dalam usaha untuk menghalang Omicron, walaupun varian itu kini dikesan di sekurang-kurangnya 11 negara lain.
– AGENSI