Covid19DomestikSemasa

COVID-19: 12 kluster pendidikan di Sabah

KOTA KINABALU: 12 kluster pendidikan membabitkan sebanyak 542 kes COVID-19 direkodkan di Sabah setakat 31 Januari lalu.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, semua kes berkenaan membabitkan 10 fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), satu fasiliti pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan satu fasiliti pendidikan swasta.

“Kluster Jalan Pertukangan membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan mencatatkan kumulatif tertinggi iaitu 172 kes, diikuti Kluster Jalan Sri Balung di SMK Balung, Tawau yang merekodkan 104 kes manakala SMK Tandek Dua di Kota Marudu sebanyak 56 kes bagi Kluster Jalan Teritipan.

“Sembilan kluster institusi pendidikan lain di Sabah adalah Kluster Jalan Kepayan Lama Tambunan (SMK Tambunan, 38 kes), Kluster Lorong Api-Api (Kolej Antarabangsa Almacrest, 34 kes), Kuster Puri Ranau (SMK Ranau, 26 kes), Kluster Batu 24 Nabalu (SK Dallas, 23 kes), Kluster Jalan Bypass Kologon (SMK Kundasang, 22 kes), Kluster Jalan Pandan-Pandan Putatan (Madrasah Darul Hadis Sabah, 22 kes), Kluster Puri Seberang (SMK Keningau, 20 kes), Kluster Jalan Kiulu Tuaran (SMK Tun Fuad Stephens, 15 aktif) dan Kluster Jalan Terusan (SMK Terusan, 10 kes),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rose Nani berkata, hasil siasatan mendapati antara faktor risiko yang menyebabkan berlakunya penyebaran kluster ialah berikutan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP), individu bergejala lewat dikesan serta guru masih hadir ke kelas walaupun bergejala.

Beliau berkata, faktor lain adalah disebabkan pelajar tidak mematuhi arahan kuarantin.

Ruangan tumpuan pelajar juga tidak dilakukan disinfeksi secara berkala dan sistem pengudaraan di sekolah yang tidak mencukupi.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button