
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh tindakan terhadap aktiviti perikanan tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata negara mengalami kerugian sekitar RM823 juta akibat pencerobohan nelayan asing antara tahun 2020 hingga 2024. Kerugian itu melibatkan kehilangan hasil tangkapan komersial, kemusnahan habitat marin dan tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.
Menurut beliau, pindaan ini bukan hanya bersifat perundangan semata-mata, tetapi juga merupakan reformasi penting dalam memperkukuh tadbir urus sektor perikanan negara, menjamin kelestarian sumber dan melindungi hak komuniti nelayan, terutamanya yang tinggal di luar bandar dan kawasan kepulauan.
RUU ini turut menyelaraskan Malaysia dengan amalan dan piawaian antarabangsa serta cadangan Suruhanjaya Eropah, sekali gus menunjukkan kesungguhan negara dalam membanteras perikanan IUU.
Antara pindaan penting yang diperkenalkan termasuk peruntukan baharu berkaitan kawal selia pemindahan kapal, pendaratan dan penyelenggaraan vesel, serta peluasan takrif kesalahan yang melibatkan kaedah penangkapan ikan yang boleh merosakkan habitat marin.
Sebagai contoh, pindaan terhadap Seksyen 26 memperuntukkan kesalahan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan, racun, pencemar, arus elektrik dan alatan yang diharamkan, yang dilihat sebagai langkah penting dalam menangani aktiviti perikanan IUU.
RUU ini juga memperkenalkan subseksyen baharu 13(3A), yang menetapkan larangan memohon semula lesen dalam tempoh maksimum lima tahun dari tarikh lesen itu dibatalkan. Langkah ini bertujuan memberi pengajaran tegas dan mencegah pengulangan kesalahan oleh pihak terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
— BERNAMA