Vietnam mengulangi pendirian tegasnya menyokong penyelesaian dua negara serta penubuhan sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dalam satu pertemuan rasmi di Hanoi antara diplomat tertinggi negara itu, Le Hoai Trung, dan rakan sejawatannya dari Palestin, Varsen Aghabekian Shahin. Pertemuan tersebut merupakan lawatan sulung Shahin ke Vietnam dan dilaporkan oleh Voice of Vietnam.
Dalam perbincangan itu, Trung menegaskan kesediaan Vietnam untuk terlibat dalam usaha pembinaan semula Gaza yang musnah akibat perang. Beliau menyatakan bahawa sokongan tersebut berlandaskan undang undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang berkaitan. Katanya Vietnam sentiasa konsisten menyokong perjuangan adil rakyat Palestin bagi mencapai kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri negara.
Shahin, dalam responsnya, menyampaikan penghargaan kepada Hanoi atas sokongan berterusan yang disifatkannya sebagai berharga dan penting kepada perjuangan Palestin. Beliau menekankan bahawa kedua dua negara berkongsi aspirasi yang sama terhadap kemerdekaan, sambil berharap Vietnam akan terus memainkan peranan dalam membantu menamatkan konflik yang berpanjangan.
Kedua dua pihak turut membincangkan langkah konkrit untuk memperkukuh hubungan dua hala, termasuk meningkatkan pertukaran delegasi peringkat tinggi, memperluas kerjasama ekonomi, serta mengembangkan kerjasama dalam pendidikan, latihan dan pertukaran rakyat. Dalam pertemuan itu, Trung dan Shahin menandatangani perjanjian pengecualian visa bagi pemegang pasport diplomatik bagi memudahkan urusan rasmi antara kedua dua negara.
Sumber: TRT World






