DomestikInspirasiKerohanianPendidikanSemasa

Cara menghilangkan bosan dalam beribadah mahupun kehidupan

Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih

Bosan adalah fitrah kita sebagai manusia. Ia bukanlah perkara yang buruk sekiranya ditempatkan pada tempat yang betul, misalnya bosan dalam melakukan perkara yang sia-sia, tetapi sekiranya tidak dikawal ia boleh menjadi barah dalam kehidupan.

Perasaan bosan ini boleh menjadikan seseorang itu hilang produktiviti dalam melakukan tugasan harian, dan juga menghilangkan khusyuk dalam beribadah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW ada mengajar kita bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hadis tersebut, bermaksud:

“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad)

Malah Rasulullah SAW juga mengajar umatnya untuk membaca doa apabila merasa lesu dan jemu iaitu:

Justeru itu, bagi mengelakkan perasaan bosan dalam diri kita, pertama sekali kita perlu mengakui bahawa perasaan bosan adalah fitrah. Kita jangan merasa bersalah kerana wujud rasa bosan itu.

Bosan mungkin adalah petanda bahawa kita perlu menerokai perkara lain dalam hidup, seperti mencari cara lain dalam melaksanakan kerja ataupun melaksanakan ibadah lain yang selama ini kita jarang laksanakan seperti solat tasbih atau keluar membuat kerja sukarelawanan.

Bosan juga adalah petanda untuk kita memenuhi fitrah lain dalam kehidupan kita seperti berhibur dan berkeluarga.

Semua itu mengarah pada satu perkara iaitu menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti kebaikan yang bermanfaat yang boleh kita lakukan selama 24 jam setiap hari. Mungkin selama ini kita hanya menyibukkan diri kita kepada satu jenis amal ibadah ataupun jalan kerja.

Ia akan dapat mengatasi perasaan bosan dalam diri apabila kita mengisi setiap detik yang kita jalani dengan amal kebajikan.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Insyirah yang bermaksud,

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengejarkan amal soleh yang lain,” Surah Al Insyirah: 7

Oleh itu, Islam banyak mengajar amal kebajikan yang boleh kita laksanakan sehinggakan waktu yang kita miliki itu tidak mencukupi untuk melakukannya.

Untuk itu kita perlu memastikan diri kita dikelilingi dengan kawan-kawan yang baik. Secara tidak langsung kita akan diselubungi dengan aura yang positif dan niat yang mulia maka akan ada banyak perkara yang baik kita akan lakukan bersama.

Memiliki kawan yang baik akan memberikan semangat yang luar biasa kerana orang yang baik, akan membantu apabila kita mengalami sebarang kesukaran.

Menjadi orang yang baik tidak semudah berkata di mulut, malah ia perlu diusahakan bagi memiliki ilmu pengetahuan yang luas.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” Surah Al-Isra’ :7

Dalam menjadi insan yang baik, selagi mana kita bergelar seorang manusia, sudah pasti memiliki banyak kekurangan dan kelemahan malah, syaitan juga akan terus menghasut manusia bagi melakukan kemungkaran.

Jadi selama mana kita masih bernyawa di dunia ini, proses untuk menjadi orang yang baik harus kita lakukan tiap masa. Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” (HR At-Tabrani)

Oleh itu, bermujahadahlah melawan rasa malas, jemu, letih dalam beribadah serta gangguan hawa nafsu dan syaitan. Cari ilmu dan amalkan sebaiknya setiap yang dipelajari. Katakan pada hati, diri ini bila-bila masa boleh mati bertemu ilahi.

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button