
Kesatuan Eropah (EU) bersama 21 negara mengeluarkan kenyataan bersama mengecam rancangan Israel membangunkan projek penempatan haram E1 di Tebing Barat yang diduduki, dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima” dan “melanggar undang-undang antarabangsa.”
Kenyataan itu dikeluarkan pada Khamis dan ditandatangani oleh menteri luar dari Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Estonia, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Itali, Jepun, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Belanda, United Kingdom (UK), Portugal, Slovenia serta wakil tertinggi diplomasi EU.
“Keputusan Jawatankuasa Perancangan Tinggi Israel untuk meluluskan rancangan pembinaan penempatan di kawasan E1, Timur Baitulmaqdis, adalah tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa,” tegas kenyataan itu.
Sebagai tindak balas, UK turut memanggil Duta Israel, Tzipi Hotovely, untuk menyatakan bantahan rasmi.
Jurucakap Pejabat Luar UK berkata negara itu bersama 21 rakan antarabangsa mengecam keputusan tersebut dengan sekeras-kerasnya.
“Jika dilaksanakan, rancangan penempatan ini akan menjadi pelanggaran undang-undang antarabangsa yang terang-terangan serta membahagikan negara Palestin masa depan kepada dua, sekali gus menjejaskan secara kritikal penyelesaian dua negara,” katanya.
Menurut laporan media Israel, Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, meluluskan pembinaan lebih 6,900 unit penempatan baharu – 3,401 unit di Ma’ale Adumim, timur Baitulmaqdis, dan 3,515 unit lagi di kawasan sekitarnya.
Penganalisis menyifatkan projek E1 sebagai langkah strategik Israel untuk memecahkan Tebing Barat kepada dua bahagian, memutuskan hubungan antara bandar di utara dan selatan wilayah itu, serta mengasingkan Baitulmaqdis Timur daripada wilayah Palestin lain.
Smotrich sendiri pernah mengakui bahawa pelan tersebut akan menjadikan penyelesaian dua negara mustahil, kerana ia menyekat akses Palestin ke Baitulmaqdis.
Menteri luar yang menandatangani kenyataan bersama itu menggesa kerajaan Israel supaya segera menarik balik rancangan E1 dan menghentikan pembinaan penempatan haram.
“Kerajaan Israel mesti menghentikan pembinaan penempatan sejajar dengan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta menghapuskan sekatan kewangan terhadap Pihak Berkuasa Palestin,” menurut kenyataan itu.
PBB, Türkiye serta beberapa negara lain sebelum ini turut mengecam rancangan penempatan haram Israel, dengan memberi amaran ia hanya akan menyemarakkan lagi konflik, keganasan dan ketidakstabilan di rantau tersebut.
Sumber: TRT Global / Agensi