
Peminat sukan permotoran di Malaysia berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini menerusi tawaran tiket tiga hari serendah RM200 bagi warganegara tempatan.
Berdasarkan maklumat rasmi laman sesawang GP Bahrain, pemegang MyKad layak menikmati harga istimewa untuk enam kategori tempat duduk dengan tawaran harga bermula RM200 hingga RM2,083.40.
Kategori Hillstand G ditawarkan pada harga paling berpatutan iaitu RM200, manakala Hillstand B dan C masing-masing dijual pada harga RM809.60. Bagi kategori grandstand, Grandstand F ditawarkan pada RM1,291.40, Grandstand K1 (RM1,386), dan Grandstand Utama pada harga RM2,083.40.
Syarat Kelayakan dan Pembelian
Kadar harga khas ini tertakluk khusus kepada pemegang MyKad dengan proses pengesahan identiti dilaksanakan bagi memastikan kelayakan pembeli. Pihak penganjur menegaskan bahawa sebarang tiket diskaun yang gagal memenuhi kriteria atau tidak sepadan dengan MyKad yang sah akan dibatalkan serta-merta.
Bagi kemudahan keluarga, kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun layak menerima diskaun 25 peratus (kecuali bagi kategori Hillstand G), manakala kanak-kanak bawah tiga tahun dibenarkan masuk secara percuma tanpa tempat duduk khas. Urus niaga bagi pembelian tiket akan diproses dalam Dinar Bahrain (BHD) mengikut kadar pertukaran semasa.
Permintaan Tinggi Ganggu Sistem Dalam Talian
Sementara itu, semakan mendapati sambutan yang amat menggalakkan daripada peminat tempatan telah menyebabkan sistem pembelian tiket secara dalam talian terganggu buat sementara waktu.
Pihak penganjur dalam satu notis memaklumkan bahawa usaha menaik taraf sistem sedang dijalankan dan menasihatkan peminat untuk mengikuti perkembangan terkini di media sosial. Sepanjang tempoh gangguan ini, pembelian tiket masih boleh dibuat menerusi talian pusat panggilan di +973 1745 0000.
Sebagai perbandingan, kadar tiket antarabangsa dijual pada harga jauh lebih tinggi, iaitu bermula USD220 (kira-kira RM970) bagi Hillstand B dan C sehingga USD565.40 (kira-kira RM2,490) untuk Grandstand Utama.
Sumber Utama: BERNAMA







