
Konvoi flotila bantuan antarabangsa kini semakin hampir ke Gaza dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu, kata penganjur pada Isnin.
“Kami berada 570 kilometer (307.7 batu nautika) dari Gaza,” menurut Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Pengepungan Gaza dalam hantaran di platform X.
Aktivis Itali, Tony La Piccilella dari Global Sumud Flotilla, melalui kenyataan video berkata kapal bantuan Madleen dan Handala pernah dipintas tentera laut Israel sebelum ini ketika cuba menamatkan sekatan dan menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Dalam video lain yang dikongsi seorang aktivis Turki di atas kapal, dilaporkan sebuah kapal Tentera Laut Greece telah berundur selepas mengiringi flotila di perairan antarabangsa, sementara tentera laut Itali dan Sepanyol masih kekal memberikan perlindungan.
“Satu-satunya perkara antara kami dan Gaza sekarang ialah laut,” kata Ross Ykema, aktivis dari Belanda.
Pada 26 Julai lalu, kapal bantuan Handala dipintas tentera Israel ketika hampir tiba di Gaza dan diiringi ke Pelabuhan Ashdod, setelah berjaya menghampiri 70 batu nautika dari Gaza. Sebelum itu, kapal Madleen turut dihalang selepas sampai sejauh 110 batu nautika.
Menurut penganjur, flotila terbesar dengan sekitar 100 aktivis dijangka berlayar pada Selasa, bersama penyertaan bot dari Pentadbiran Cyprus Yunani dan Türkiye.
La Piccilella turut mendedahkan bahawa selain Itali dan Sepanyol, tiga lagi negara sedang mempertimbangkan untuk menghantar kapal tentera bagi melindungi misi tersebut. “Ia semakin besar. Ini bukan sekadar tentang Flotila Sumud Global. Ia adalah pergerakan ratusan orang di laut dan berjuta-juta orang di darat — dan ia tidak akan berhenti sehingga kepungan dipecahkan,” katanya.
Flotila Sumud Global yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal berlayar sejak awal bulan ini dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Gaza.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya semua lintasan ke Gaza, menyekat konvoi makanan dan bantuan antarabangsa sehingga mencetuskan kebuluran serta krisis kesihatan serius.
Menurut laporan, lebih 66,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, terbunuh sejak serangan Israel bermula pada 7 Oktober 2023. Pengeboman tanpa henti turut menjadikan Gaza hampir tidak dapat didiami, di samping penyebaran penyakit dan kebuluran yang kian parah.
— TRT World & Agensi