PalestinSemasa

Gencatan Senjata Tak Bermakna Kebebasan: Doktor Gaza Masih Di Penjara Israel

KAHERAH — Di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, Israel telah membebaskan puluhan doktor, jururawat, paramedik dan petugas perubatan lain yang ditahan semasa serbuan ke atas hospital-hospital.

Namun, lebih 100 orang masih berada dalam penjara Israel, termasuk Dr. Hossam Abu Safiya, seorang pengarah hospital yang menjadi lambang perjuangan untuk terus merawat pesakit di tengah-tengah kepungan dan pengeboman Israel.

Penjara Ofer di Baitulmaqdis. Kredit AP photo/Mahmoud Illean

Walaupun terdapat seruan meluas agar beliau dibebaskan, Abu Safiya tidak termasuk dalam ratusan tahanan dan banduan Palestin yang dibebaskan pada Isnin sebagai pertukaran dengan 20 tebusan yang ditahan oleh Hamas. Abu Safiya, pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, telah dipenjarakan oleh Israel tanpa sebarang pertuduhan selama hampir 10 bulan.

Pertubuhan Health Workers Watch, yang mendokumentasikan penahanan petugas kesihatan dari Gaza, menyatakan bahawa 55 petugas perubatan termasuk 31 doktor serta jururawat disenaraikan sebagai tahanan Gaza yang dibebaskan pada Isnin, namun belum dapat dipastikan sama ada kesemua mereka benar-benar telah dilepaskan. Kumpulan itu juga menyebut sekurang-kurangnya 115 petugas perubatan masih ditahan, selain empat lagi yang meninggal dunia semasa berada dalam penjara Israel, di mana kumpulan hak asasi dan saksi melaporkan berlaku penderaan secara berleluasa.

Petugas yang bersorak gembira dari Hospital al-Awda telah mengangkat di bahu mereka pengarah mereka yang dibebaskan, Ahmed Muhanna, yang telah ditahan Israel selama kira-kira 22 bulan selepas diserbu di fasiliti itu di utara Gaza pada penghujung tahun 2023.

“Hospital al-Awda akan dibangunkan semula, kakitangannya akan membina semula dengan tangan mereka sendiri. Saya berbangga dengan apa yang telah kami lakukan dan apa yang akan kami lakukan,” kata Muhanna kepada para penyokongnya. Menurut video yang dimuat naik ke media sosial, wajahnya kelihatan lebih cengkung berbanding sebelum penahanannya.

Hospital al-Awda, yang rosak teruk semasa beberapa serangan di kem pelarian Jabaliya yang hampir musnah sepenuhnya, telah ditutup sejak Mei apabila ia terpaksa dipindahkan semasa serangan terkini Israel.

Pada Isnin, Hamas mengiringi bas yang membawa tahanan Palestin yang dibebaskan tiba di Semenanjung Gaza selepas mereka dibebaskan dari penjara Israel di bawah perjanjian gencatan senjata. Kredit AP photo:Jehad Alshrafi

Kempen dua tahun Israel yang bertujuan memusnahkan Hamas selepas serangan 7 Oktober 2023 telah memusnahkan sistem kesihatan Gaza, memaksa kebanyakan hospital ditutup dan banyak lagi mengalami kerosakan teruk, sementara para petugas berjuang merawat gelombang mangsa pengeboman di tengah kekurangan bekalan. Sepanjang perang itu, pasukan Israel menyerbu beberapa hospital dan mengebom yang lain, serta menahan ratusan kakitangan.

Israel memberikan alasan bahlul kononnya mereka menyasarkan hospital kerana Hamas menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Bagi pegawai kesihatan Palestin, alasan itu disangkal sama sekali. – AP

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button