
Penduduk Gaza kini berdepan “gunung berapi” trauma psikologi akibat pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel, yang menjadi semakin jelas sejak gencatan senjata bermula bulan lalu, menurut pakar kesihatan mental Palestin.
Dua tahun pengeboman sengit dan pencerobohan ketenteraan berulang yang dikatakan telah membunuh lebih 68,000 orang, di samping kehilangan tempat tinggal serta kelaparan yang meluas, telah menjejaskan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza. Kesan terhadap kesihatan mental mereka kini begitu ketara sehingga hospital dan klinik kesihatan tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang memerlukan bantuan psikologi.
Ketua Hospital Kesihatan Mental Kota Gaza, Abdallah al Jamal, berkata pasukannya kini bekerja di klinik sementara selepas bangunan utama rosak akibat serangan udara. “Dengan bermulanya gencatan senjata, ia seperti gunung berapi yang meletus. Pesakit datang dalam jumlah yang luar biasa. Malah stigma terhadap rawatan psikologi sudah hilang,” katanya.
Al Jamal menambah bahawa kekangan sumber dan kerosakan infrastruktur memaksa mereka berkongsi ruang rawatan yang kecil, sekali gus menjejaskan privasi pesakit. “Ia sebenarnya sangat menghina cara perkhidmatan disediakan, tetapi kami cuba sedaya upaya mencari alternatif,” jelasnya. Lebih 100 pesakit dilaporkan hadir setiap hari di fasiliti sementara tersebut.
Dalam kalangan kanak-kanak, pakar kesihatan mental Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan peningkatan kes ketakutan malam, kencing malam, gangguan tidur dan ketidakupayaan untuk menumpukan perhatian. “Kanak-kanak Gaza kini bukan sahaja kekurangan makanan dan air, tetapi juga kehilangan rasa aman. Mereka hidup dalam ketakutan setiap masa,” kata pakar organisasi itu, Nivine Abdelhadi, yang kini menjalankan aktiviti terapi melalui permainan dan penceritaan.
Gencatan senjata yang dikuatkuasakan pada 10 Oktober masih dilanggar berulang kali oleh tentera Israel. Dalam tempoh ini, serangan kecil dan pencabulan perjanjian dilaporkan berlaku hampir setiap hari di beberapa wilayah Gaza, memperburuk tekanan mental rakyat yang sudah sedia trauma akibat perang.
Sumber: Reuters






