DuniaSemasa

Haji: Malaysia jadi negara pertama peroleh kebenaran operasi pusat kesihatan

MEKAH: Bagi dua tahun berturut-turut, Malaysia menjadi negara pertama memperoleh kebenaran pengoperasian pusat kesihatan untuk jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pusat kesihatan Tabung Haji (TH) di Madinah lulus saringan dan pemeriksaan ketat Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada 25 Mei lepas.

Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Ketua Rombongan Haji Malaysia

“Ini satu pengiktirafan yang diberikan kepada perkhidmatan kesihatan dan juga menunjukkan persediaan kita serta fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi yang membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini,” katanya dalam sidang media dihadiri BERNAMA di Abraz Janadriyah.

Jelasnya saringan pada tahun ini lebih ketat berbanding tahun lepas dengan negara perlu memenuhi kriteria dari segi fasiliti, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.

Syed Saleh berkata amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, saya rasa kita tidak dapat menafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Syed Saleh memaklumkan seramai 9,078 jemaah haji telah tiba di Tanah Suci menaiki 30 penerbangan dengan 6,112 kini berada di Madinah dan 2,966 di Mekah.

Beliau berkata setakat ini, 6 jemaah haji dimasukkan ke wad pusat kesihatan TH di Madinah manakala dua di Hospital Arab Saudi di Mekah akibat masalah kesihatan.

Menurutnya seorang daripada jemaah cedera di kaki akibat terjatuh manakala yang lain mengalami jangkitan paru-paru dengan kesemua mereka yang berumur 60 tahun ke atas berada dalam keadaan stabil.

Katanya ahli keluarga telah dimaklumkan mengenai situasi jemaah haji berkenaan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button