
Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengorbankan tawanan Israel di Gaza demi kepentingan peribadi dan agenda politik ekstremnya. Tuduhan itu dibuat susulan perbincangan kabinet keselamatan Israel berhubung rancangan menduduki semula Gaza.
Menurut kenyataan Hamas pada Khamis, rancangan Netanyahu untuk meningkatkan serangan ke atas Gaza jelas menunjukkan hasratnya untuk “menyingkirkan tawanan dan mengorbankan mereka demi kepentingan diri”. Media Israel melaporkan rancangan tersebut mungkin melibatkan pendudukan penuh tentera di wilayah Palestin itu, termasuk serangan ke kawasan yang belum pernah diserang sebelum ini seperti kem latihan Hamas di tengah Gaza dan Bandar Gaza sendiri.
Dalam temu bual bersama Fox News, Netanyahu menyatakan Israel mahu menguasai seluruh Gaza, tetapi tidak bercadang untuk mentadbirnya. Hamas mengecam kenyataan itu sebagai penerusan “pembunuhan beramai-ramai” dan “pemindahan paksa” terhadap rakyat Palestin.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Jordan menegaskan negara-negara Arab hanya akan menyokong apa yang dipersetujui rakyat Palestin, menolak cadangan Netanyahu supaya Gaza diserahkan kepada pentadbiran tentera Arab. “Keselamatan di Gaza mesti dijamin melalui institusi Palestin yang sah. Orang Arab tidak akan bersetuju dengan dasar Netanyahu atau membersihkan kekusutannya,” katanya kepada Reuters.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah meragut nyawa lebih 61,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Dianggarkan 11,000 lagi masih tertimbus di bawah runtuhan. Pakar percaya angka sebenar kematian mungkin mencecah 200,000 orang.
Daripada 251 tawanan yang diambil oleh Hamas pada 2023, 49 masih berada di Gaza dan 27 disahkan mati oleh tentera Israel, sebahagiannya akibat serangan Israel sendiri. Dalam masa yang sama, kira-kira 11,000 rakyat Palestin ditahan di penjara Israel.
Sumber – TRT