Covid19Semasa

Ibu kota lengang, lebuh raya sepi

Pelaksanaan PKP Penuh hingga 14 Jun

KAJANG : 1 Jun 2021 – tarikh bersejarah. Buat kali kedua ibu kota negara lengang akibat pelaksanaan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh Fasa 1 bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Tinjauan Wartawan UMMAHToday, Noorzati Arish menerusi sesi litar kamera secara langsung di lebuh-lebuh raya utama negara mendapati kebanyakan lebuh raya lengang baik arah ke utara, selatan dan ke pantai timur. Manakala lebuh raya menuju ke ibu kota didapati turut lengang.

Tinjauan rakaman kamera secara langsung yang dilakukan pada jam 12:30 tengah hari dan 5:30 petang turut menunjukkan suasana yang sama. Lebuh Raya AKLEH, Lebuh raya PLUS ke Utara dan Selatan, serta Lebuh raya  Pantai Timur menunjukkan keadaan yang sama seperti tengah hari tadi.

Beberapa Sekatan Jalan Raya juga dilihat dilakukan oleh pasukan PDRM dan ATM, terutama pintu masuk ke ibu kota.

Jalan raya menuju premis-premis perniagaan pula tiada seorang pun kelibat orang awam kelihatan. Pusat beli-belah yang minggu sebelum raya sesak bertukar sunyi sepi, Boleh dikira beberapa buah kenderaan yang berada di jalan raya. Kamera litar tertutup, CCTV, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merakam pergerakan itu selama 24 jam. Rakaman pada jam 6:00 petang tadi turut menyaksikan suasana lengang berkenaan.

Bagi sektor kenderaan pula pengangkutan awam seperti bas, perkhidmatan e-hailing dan teksi sahaja dilihat berada di atas jalan-jalan utama dengan bilangan kenderaan persendirian pula amat berkurangan berbanding pada hari-hari biasa.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini berkata pengurangan pergerakan kenderaan didapati kurang 70 peratus tidak seperti hari sebelumnya.

Situasi lengang di ibu kota ini jelas membuktikan komitmen dan kerjasama rakyat Malaysia mematuhi SOP PKP bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari hingga 14 Jun depan. Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, menerusi ‘total lockdown’ itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan strategik yang telah disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button