Semasa

Agong, Permaisuri tiba di Madinah bersedia tunai Haji

MADINAH: Dhuyufurrahman KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah selamat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi pada Rabu.

Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Kota Suci Madinah, pada jam 4:00 petang waktu tempatan (9:00 malam waktu Malaysia).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua, yang diiringi oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka-paduka anakanda Baginda berdua, disambut oleh Gabenor Madinah, Yang Amat Mulia Putera Faisal bin Salman Al Saud.


Seri Paduka Baginda berdua dijadual berada di Kota Suci Madinah dan Mekah sehingga 1 Julai 2023 bagi menunaikan ibadah Haji.

Sebelum berlepas, media melaporkan keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

Sebelum berangkat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sempat meluangkan masa bersalaman bersama kakitangan Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong juga sempat berpesan kepada Perdana Menteri untuk menjaga negara.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button