
Oleh : Thoriq
Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dijangka menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya.
Menurut laporan Sinar Harian, telefon bimbit tersebut mengandungi rakaman audio perbualan antara Noraidah Lamat, 45, dan anak perempuannya, Zara Qairina, sebelum kejadian tragis berlaku.
Peguam yang mewakili Noraidah, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata penyerahan bahan bukti itu adalah susulan arahan terbaharu daripada Jabatan Peguam Negara yang telah memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan beberapa arahan untuk melengkapkan siasatan.
“Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara kerana telah mengembalikan laporan siasatan penuh kepada pihak polis semalam bersama arahan untuk melengkapkan beberapa perkara penting sebelum tindakan lanjut diambil,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Mereka turut berharap agar langkah ini akan disusuli dengan tindakan-tindakan lain yang telah dinyatakan dalam surat rasmi yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pada 5 Ogos lalu.
Antara permintaan yang disenaraikan dalam surat tersebut termasuklah agar siasatan dijalankan oleh pegawai berpengalaman dari Bukit Aman, pengebumian semula (exhumation) jenazah Zara bagi tujuan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian, serta permohonan agar satu inkues diadakan bagi meneliti sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes ini.
Zara Qairina, 13 tahun, dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya. Kejadian ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak, termasuk orang awam dan badan bukan kerajaan, yang mendakwa wujud unsur buli dan kemungkinan cubaan menutup kes tersebut.
Pihak keluarga berharap agar penyiasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh demi mendapatkan keadilan buat arwah Zara.