DomestikSemasa

Insiden Pesawat TUDM: Anak Kapal Berjaya Laksana Prosedur Kecemasan Sebelum Terhempas

Juruterbang dan Jurusensor Senjata pesawat pejuang F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah semalam sempat melaksanakan prosedur kecemasan dengan keluar menggunakan kerusi lontar (eject) sebelum pesawat itu terhempas.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, mengalami kecederaan belakang serta melecur satu peratus di tumit kiri, manakala Jurusensor Senjata Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, hanya mengalami lebam di beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua pegawai itu sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan telah dibenarkan keluar pada pukul 2 pagi tadi. Mereka kini berehat di Rumah Sakit Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.

Menurut beliau, kemalangan berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan malam rutin.

Bagi memastikan keselamatan operasi, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah ditutup pagi tadi bagi melaksanakan operasi pembersihan menyeluruh ‘Mega Sweep’.

“Kita menempatkan anggota di seluruh kawasan untuk meneliti setiap inci landasan. Jika ada bahan asing, ia akan dikutip bagi memastikan kawasan benar-benar bersih sebelum operasi penerbangan disambung semula,” katanya.

Beliau menambah, TUDM telah menubuhkan sebuah lembaga siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian, dengan laporan awal dijangka diperoleh dalam masa terdekat, manakala laporan penuh biasanya siap dalam tempoh tidak melebihi 14 hari.

Antara aspek yang akan diteliti termasuk rakaman video yang tular, kemungkinan serangan burung, kewujudan objek asing di landasan atau kegagalan enjin. Data daripada sistem pengumpul maklumat pesawat yang menyerupai ‘black box’ turut akan dianalisis.

Selain itu, semua pesawat F/A-18D Hornet digantung daripada sebarang penerbangan sehingga siasatan selesai dan punca sebenar dikenal pasti.

Pesawat terbabit adalah milik No 18 Skuadron berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth tetapi ditempatkan sementara di Kuantan susulan kerja naik taraf landasan di pangkalan asalnya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet TUDM terlibat dalam insiden di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah pada 9.05 malam, 21 Ogos.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button