PalestinSemasa

Ireland, Sepanyol dan Slovenia Ancam Boikot Eurovision 2026 Jika Israel Sertai

Ireland, Sepanyol dan Slovenia meningkatkan tekanan terhadap penganjur Peraduan Lagu Eurovision 2026 dengan mengumumkan bahawa mereka tidak akan menyertai pertandingan itu sekiranya Israel dibenarkan mengambil bahagian.

Penyiar kebangsaan Ireland, RTE, dalam kenyataan berkata keputusan untuk menarik diri adalah kerana “kehilangan nyawa yang berterusan dan mengerikan di Gaza” menjadikan penyertaan negara itu “tidak wajar”. RTE turut menyuarakan kebimbangan terhadap pembunuhan wartawan di Gaza, larangan akses kepada media antarabangsa serta nasib tebusan yang masih ditahan.

Menteri Kebudayaan Sepanyol, Ernest Urtasun, dalam temu bual televisyen menyatakan bahawa walaupun keputusan akhir bergantung kepada penyiar awam RTVE, kerajaan telah meminta secara rasmi supaya Israel dikecualikan. Beliau menegaskan, membenarkan Israel mengambil bahagian seolah-olah “menormalkan” peranannya di tengah-tengah perang yang mengorbankan lebih 64,600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023.

Sementara itu, penyiar awam Slovenia, RTV Slovenija, turut mengumumkan pada Jumaat bahawa negara itu tidak akan menyertai Eurovision 2026 sekiranya Israel masih dibenarkan bertanding. Langkah itu diambil sebagai tanda solidariti dengan Palestin, sejajar dengan pendirian yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) pada Julai lalu.

EBU dilaporkan telah melanjutkan tarikh akhir pengesahan penyertaan sehingga pertengahan Disember dan akan membincangkan kelayakan Israel dalam mesyuarat di Geneva pada 4-5 Disember.

Konflik Gaza yang berlarutan sejak hampir dua tahun telah memusnahkan sebahagian besar wilayah itu, menyebabkan kebuluran buatan manusia selain korban jiwa yang semakin meningkat.

— Sumber: Anadolu Agency

Related Articles

Back to top button