PalestinSemasa

Israel Bergolak, Rakyat Tuntut Gencatan Senjata dan Pulangan Tebusan

Ribuan rakyat Israel turun ke jalan di beberapa bandar utama, termasuk Baitulmaqdis Barat, Tel Aviv, Haifa dan Negev, membantah rancangan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk menduduki semula Gaza serta menuntut perjanjian gencatan senjata segera.

Protes yang dipimpin keluarga tawanan dan bekas tahanan ini mendesak kerajaan supaya mencapai persetujuan dengan Hamas bagi membebaskan kira-kira 50 tawanan Israel, termasuk 20 yang dipercayai masih hidup di Gaza.

Menurut pemimpin tentera Israel sendiri, rancangan Netanyahu itu disifatkan sebagai “perangkap strategik” yang boleh mengorbankan nyawa tawanan.

Yehuda Cohen, bapa kepada seorang askar yang ditawan, menuduh Netanyahu memanjangkan perang demi kepentingan politiknya. “Satu-satunya cara membawa pulang tebusan ialah menghentikan perang dan mengakhiri penderitaan semua pihak – rakyat Gaza, tentera, dan keluarga kami,” katanya.

Hamas berulang kali menyatakan kesediaan membebaskan semua tawanan sebagai pertukaran untuk penghentian perang dan pengunduran tentera Israel.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 61,000 nyawa rakyat Palestin – majoritinya wanita dan kanak-kanak – selain ribuan lagi yang hilang di bawah runtuhan. Krisis ini turut mengakibatkan kebuluran besar-besaran di wilayah tersebut.

Netanyahu kini berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang, selain kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Sumber – TRT

Related Articles

Back to top button