PalestinSemasa

MISI SUMUD NUSANTARA 2026: MALAYSIA GERAKKAN USAHA BERSEPADU DARAT DAN LAUT BELA GAZA

Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai penggerak utama dalam memimpin momentum kebangkitan kemanusiaan sejagat melalui pelancaran kempen berskala besar, Grand Campaign Sumud Nusantara 2026.

Kempen ini menjadi indikator penting kepada kebangkitan kesedaran global apabila jumlah negara yang menyertai misi ini meningkat secara mendadak kepada 100 buah negara, berbanding hanya 44 buah negara pada tahun sebelumnya.

Misi bersepadu ini diselaraskan oleh Gagasan NGO Sumud di bawah payung Sumud Nusantara Command Center (SNCC). Ia menggabungkan kerjasama padu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkemuka tanah air seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia, MyAqsa Defender, Yayasan Mawardah, Centhra, dan beberapa NGO lain.

5 Fasa Tindakan Strategik Sumud Nusantara 2026

Bagi memastikan bantuan kemanusiaan berjaya melepasi kepungan dan tiba tepat kepada kumpulan sasaran, misi ini telah dirangka secara strategik melalui lima fasa tindakan yang melibatkan pelbagai jalur diplomasi dan perundangan:

  1. Misi Bantuan Kecemasan (Darat): Penghantaran 30 buah kontena yang memuatkan bantuan kritikal dari Malaysia. Bantuan ini akan dibawa masuk secara terus melalui laluan darat ke Gaza hasil bantuan diplomasi antara kerajaan (G2G) Malaysia dan Mesir.

  2. Sidang Media Pintu Rafah: Satu kenyataan tegas berhubung pendirian Malaysia akan dipancarkan secara langsung dari pintu sempadan Rafah sebagai mesej diplomatik antarabangsa, dengan kebenaran rasmi G2G dari pihak kerajaan Malaysia dan Mesir.

  3. Sumud Flotilla 2.0 (Laut): Satu pelayaran global melibatkan armada 70 buah kapal yang kini telah berada dalam keadaan bersiap sedia. Jumlah kapal ini dijangka terus bertambah seiring dengan peningkatan sokongan solidariti antarabangsa.

  4. Kongres Parlimen Inaugural Sumud Sedunia: Sebuah persidangan parlimen antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Brussels pada penghujung bulan ini. Ia bertujuan membina dan memperkukuh tekanan politik secara langsung di peringkat Eropah.

  5. Tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC): Langkah perundangan agresif dengan memfailkan petisyen aduan rasmi di pejabat Ketua Pendakwa Raya ICC bagi menuntut keadilan mutlak terhadap isu Palestin, termasuk kes jenayah penculikan Global Sumud Flotilla (GSF) 2025 di perairan antarabangsa.

Kepimpinan, Delegasi, dan Sokongan Kerajaan

Misi gergasi ini diterajui oleh Dato’ Sani Araby selaku Ketua Pengarah SNCC merangkap Pengarah Misi. Beliau dibantu oleh tokoh kemanusiaan terkenal, Nadir Al-Nuri, yang dilantik sebagai Chef de Mission Sumud Nusantara bagi memanfaatkan pengalaman luas beliau sebagai pengasas dan jawatankuasa stereng GSF dunia.

Keberanian dan komitmen Malaysia dizahirkan secara rasmi apabila YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tampil sebagai penaung utama keseluruhan kempen ini dengan sokongan penuh jentera kerajaan. Langkah ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang hadir menyokong inisiatif seumpama ini secara kolektif dan rasmi.

Sokongan padu ini turut melibatkan penglibatan langsung pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kementerian Komunikasi, Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan Yayasan Wakaf Malaysia.

Bagi penyelarasan logistik antarabangsa, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) telah diamanahkan untuk bertindak sebagai Ketua Misi ke Mesir bagi pelepasan 30 kontena. Beliau juga akan mewakili YAB Perdana Menteri dan negara bagi menyempurnakan majlis flag-off delegasi Malaysia di pelabuhan Barcelona.

Fokus Kemanusiaan di Tengah Konflik

Sehingga kini, seramai 1,000 peserta telah mengesahkan penyertaan mereka. Delegasi ini terdiri daripada pihak penganjur, kru kapal, kapten, pasukan perubatan, serta pengamal media yang ditugaskan untuk memberikan laporan yang telus dan langsung mengenai situasi sebenar di lapangan.

Di sebalik pergolakan yang kian meruncing di rantau Timur Tengah, kempen Sumud Nusantara 2026 kekal teguh kepada mandat asalnya—iaitu menghantar bantuan kecemasan dan membela hak asasi manusia tanpa membiarkan perhatian terpesong daripada krisis kemanusiaan yang menuntut tindakan nyata.

Dalam satu kenyataan rasmi, Dato’ Sani Araby menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang misi ini.

“Kami mengajak seluruh warga Malaysia, tanpa mengira perbezaan bangsa, agama, mahupun latar belakang politik, untuk kita bersatu. Membela Palestin adalah ‘signature’ atau identiti kita sebagai sebuah negara kecil yang sentiasa mempunyai jiwa yang besar dalam menangani isu kemanusiaan global,” tegas beliau.

Kempen ini bukan sekadar sebuah konvoi penghantaran bantuan, tetapi menjadi manifestasi jelas bahawa solidariti kemanusiaan tanpa sempadan mampu menggerakkan komuniti dunia untuk menolak sebarang bentuk kezaliman.

Related Articles

Back to top button