
Pihak berkuasa Israel bertindak menahan 11 aktivis antarabangsa dan mengusir 12 yang lain selepas mereka menyertai inisiatif menyokong dan melindungi petani Palestin daripada siri serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Penyelaras kempen sukarela Palestin “Fazaa”, Mohammed Matar, memaklumkan bahawa tahanan di kawasan al-Bawabeer (Masafer Yatta) terdiri daripada warganegara Itali, Jerman, Amerika Syarikat (AS), dan Hungary. Manakala 12 aktivis yang diusir dari kampung Kafr Ni’ma pula melibatkan warganegara AS, Kanada, Jerman, dan Itali. Kempen yang dilancarkan sejak 28 September lalu itu telah menarik penglibatan kira-kira 800 aktivis asing dan diplomat bagi membendung pencerobohan serta membantu komuniti Palestin menuai hasil zaitun.
Matar menjelaskan bahawa walaupun berdepan halangan tentera dan ancaman keselamatan, kempen tersebut telah mencapai 70 peratus matlamat strategiknya. Beliau menyifatkan penglibatan aktivis antarabangsa sebagai bentuk “diplomasi rakyat-ke-rakyat” yang berperanan mendokumentasikan pencerobohan di lapangan serta menyebarkan realiti penindasan kepada masyarakat antarabangsa.
Tindakan terhadap sukarelawan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan mendadak keganasan peneroka haram dan tentera Israel di Tebing Barat. Mengikut data Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Palestin, sebanyak 3,133 serangan direkodkan sepanjang bulan Oktober lalu—peningkatan 52.8 peratus berbanding bulan sebelumnya—yang turut menyaksikan kemusnahan 5,890 pokok, termasuk 4,498 pokok zaitun milik penduduk Palestin.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)







