
Semua masjid dan surau di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat bagi Allahyarham Zara Qairina Mahathir esok selepas solat Maghrib.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata majlis ini dianjurkan susulan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. JAKIM memastikan pelaksanaan majlis berjalan tertib dan mengikut syiar Islam.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham, malah sebagai tanda kasih sayang, solidariti, dan keprihatinan kita sebagai umat Islam terhadap keluarga yang sedang diuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk hadir dan menyertai majlis di masjid atau surau masing-masing. Doa yang dipanjatkan bersama-sama diharapkan menjadi sumber kekuatan, ketenangan, dan amal jariah berterusan buat Allahyarham.
JAKIM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Zara Qairina. Pelajar berusia 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai. Beliau ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai pukul 4 pagi.
— BERNAMA