
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 300,000 penduduk Gaza telah berpindah dari kawasan selatan ke utara dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, susulan pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang melonggarkan sekatan pergerakan di wilayah tersebut.
Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata pasukan pemantau merekodkan hampir 310,000 pergerakan dari selatan ke utara Gaza dan kira-kira 23,000 pergerakan ke arah sebaliknya sejak Jumaat lalu.
“Pasukan kemanusiaan kini dapat bergerak dengan lebih mudah di banyak kawasan. Kami sudah mula menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terputus hubungan selama berbulan-bulan,” katanya pada sidang media di New York.
Beliau turut memaklumkan bahawa Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher, telah memperuntukkan tambahan USD11 juta (RM52 juta) daripada Central Emergency Response Fund (CERF) bagi menyokong operasi kemanusiaan menjelang musim sejuk. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dana CERF yang disalurkan ke Gaza setakat ini sebanyak USD20 juta.
Menurut Haq, dana tersebut digunakan bagi memastikan bekalan bahan api, ubat-ubatan dan keperluan asas dapat disalurkan bagi mengekalkan operasi kemudahan penting seperti hospital dan pusat perlindungan.
Di bawah pelan kemanusiaan 60 hari yang dilancarkan PBB, agensi itu bersama rakan pelaksana akan menyalurkan bantuan seperti makanan, air bersih, penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan barangan kebersihan kepada semua penduduk di wilayah berkenaan.
Gencatan senjata semasa merupakan fasa pertama pelan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 29 September lalu, yang merangkumi pembebasan tahanan, pengunduran tentera Israel secara berperingkat, serta perbincangan mengenai mekanisme pentadbiran baharu di Gaza.
Sejak perang bermula pada Oktober 2023, lebih 67,800 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala sebahagian besar Semenanjung Gaza kini musnah dan tidak dapat didiami.
Sumber: TRT







