SemasaSukan

KBS, KPT Bincang Jadikan E-Sukan Kursus Jangka Panjang di IPT – Hannah

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menjadikan e-sukan sebagai kursus jangka panjang di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pembangunan bakat dalam industri e-sukan telah dimulakan melalui kursus jangka pendek yang dikendalikan Persatuan Sukan Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara.

“Selepas kemenangan pasukan Selangor Red Giants (SRG) dalam arena Mobile Legends: Bang Bang yang membawa pulang ganjaran besar, semakin ramai melihat e-sukan sebagai satu kerjaya.

“…namun, kebimbangan ibu bapa tetap wujud kerana isu ketagihan gajet merupakan masalah serius di Malaysia. Oleh itu, keseimbangan perlu dicapai,” katanya ketika menjawab celahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) pada sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Afnan bertanya sama ada KBS bersedia mempertimbangkan penawaran ijazah e-sukan di universiti dalam tempoh lima tahun akan datang, supaya ia diiktiraf sebagai bidang profesional, bukan sekadar hiburan.

Mengulas perkara itu, Hannah berkata kajian seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mendapati wujud jurang psikologi dalam kalangan belia, khususnya dari aspek kesiapsiagaan mental yang perlu diberi perhatian.

“Kajian ini membuktikan kepentingan untuk memastikan penglibatan belia dalam e-sukan tidak menjejaskan akademik dan kesejahteraan sosial mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah menjelaskan usaha KBS untuk menghubungkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri semasa, termasuk automotif.

“Cabaran utama ialah memastikan tenaga pengajar mempunyai kepakaran yang sesuai. Buat masa ini, kita melaksanakan projek perintis di institusi tertentu melibatkan bidang sukan, termasuk permotoran dan juga aviation sports yang menggunakan kecerdasan buatan (AI),” jelasnya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button