Kembangkan Islam melalui aplikasi permesejan – Abang Johari
KUCHING: Penggunaan aplikasi permesejan atas talian seperti Telegram dan WhatsApp harus dipergiatkan sebagai antara platform berdakwah dan berkongsi idea mengenai Islam khususnya kepada generasi baharu, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata melalui kemajuan teknologi komunikasi, jarak fizikal tidak lagi menjadi penghalang untuk berhubung dengan serta-merta dan ia seharusnya membuka peluang yang luas untuk mempromosikan lagi nilai-nilai Islam.
“Ia tidak lagi janggal untuk kita mengguna dan menyesuaikan dengan (teknologi baharu). Saya percaya dalam beberapa tahun lagi, kita akan menggunakan hologram iaitu kaedah futuristik untuk memaparkan imej menggunakan cahaya untuk membentuk objek 3D dan saya mempunyai pengalaman ini di Korea (semasa lawatan baru-baru ini),” katanya.
Berucap merasmikan Perhimpunan Agung ke-19 Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di sini hari ini, beliau berkata Mesyuarat Exco serantau RISEAP baru-baru ini juga dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.
Menurut Abang Johari, melalui kesinambungan tadbir urus yang cemerlang, RISEAP akan dapat meluaskan jangkauan mereka daripada 24 negara anggota ketika ini, meningkatkan jumlah keahliannya pada tahun-tahun akan datang.
“Terdapat banyak peluang untuk penganut agama berbeza untuk berkumpul dan meningkatkan persefahaman bersama. Ia memerlukan keyakinan dan keterbukaan untuk mendekati dan mengambil langkah yang akan membawa kita bersama dengan mempromosikan persefahaman antara agama dan bekerjasama rapat dengan kumpulan agama lain,” jelas Abang Johari.
RISEAP ditubuhkan pada 11 Nov 1980 dengan matlamat untuk menyatukan negara-negara minoriti Islam di Asia Timur dan Pasifik.
Perdana Menteri pertama Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan Presiden pertama RISEAP dan kini jawatan itu disandang oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selepas menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 1988.
Perhimpunan Agung Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) kali ini mendapat penyertaan seramai 100 delegasi mewakili 19 negara Asia Tenggara dan Pasifik.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk perhimpunan itu, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, negara yang hadir adalah termasuk Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Myanmar, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand, Fiji, Vanuatu, Maldives, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Malaysia.
BACA JUGA
Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi