
Satu inisiatif rakyat Eropah yang menuntut penggantungan Perjanjian Persatuan EU-Israel telah melepasi angka satu juta tandatangan pada Selasa, menjadikannya kempen terpantas mencapai ambang tersebut dalam sejarah mekanisme Kesatuan Eropah (EU).
Kempen yang dilancarkan pada Januari 2026 di bawah tajuk “Keadilan untuk Palestin” itu hanya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk mengumpul sokongan besar daripada warga blok berkenaan.
Selain jumlah keseluruhan yang mencecah sejuta, inisiatif tersebut juga berjaya melepasi ambang tandatangan kebangsaan di 10 negara anggota EU, melebihi syarat minimum tujuh negara yang ditetapkan untuk pengesahan rasmi.
Desakan Hentikan ‘Persubahatan’
Inisiatif yang diterajui oleh Perikatan Kiri Eropah dengan sokongan kumpulan masyarakat sivil serta gerakan pimpinan Palestin itu menggesa EU supaya menggantung perjanjian perdagangan dan politiknya dengan Israel.
Mereka memetik dakwaan pencabulan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang berterusan sebagai alasan utama.
“Sejuta orang telah bersuara: EU mesti menggantung sepenuhnya Perjanjian Persatuannya dengan Israel. Blok ini perlu mempertahankan undang-undang antarabangsa dan menghentikan penglibatannya dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel,” kata penganjur dalam satu kenyataan rasmi.
Penganjur kini menyasarkan jumlah baharu sebanyak 1.5 juta tandatangan bagi memberi tekanan politik yang lebih hebat kepada kepimpinan di Brussels.
Mekanisme Perundangan EU
Di bawah peraturan Inisiatif Warga Eropah, Suruhanjaya Eropah kini diwajibkan untuk meneliti cadangan tersebut memandangkan ia telah memenuhi syarat satu juta tandatangan dan kuota negara anggota.
Walau bagaimanapun, secara teknikalnya, Suruhanjaya tersebut tidak diwajibkan dari segi undang-undang untuk memperkenalkan undang-undang baharu, namun mereka perlu memberikan maklum balas rasmi terhadap tuntutan rakyat tersebut.
Hubungan Ekonomi Yang Erat
Kenyataan penganjur turut menekankan jurang yang semakin melebar antara sentimen rakyat Eropah dengan dasar luar kepimpinan EU.
Setakat tahun 2024, EU kekal sebagai rakan dagang terbesar Israel dengan jumlah perdagangan barangan mencecah kira-kira $50.2 bilion (RM215 bilion).
Catarina Martins, pengerusi bersama Perikatan Kiri Eropah, menyelar hubungan ekonomi yang berterusan itu. Beliau menegaskan bahawa mengekalkan perjanjian tersebut hanya akan menjejaskan kredibiliti dan komitmen EU terhadap hak asasi manusia.
Untuk rekod, Perjanjian Persatuan EU-Israel yang dikuatkuasakan sejak tahun 2000 mengandungi klausa yang menyatakan bahawa hubungan antara kedua-dua pihak mestilah berasaskan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi.
SUMBER: TRT World / AA






