
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kartel yang didakwa sekian lama merosakkan sistem ekonomi negara.
Menurut beliau, keberanian kerajaan memecahkan dominasi kartel menjadi antara pencapaian utama pentadbiran MADANI, sekali gus membuktikan komitmen membela kepentingan rakyat.
“Kerajaan MADANI telah memecahkan tembok kartel dan kita akan terus memerangi mereka. Saya sudah arahkan badan penguatkuasaan untuk perangi kartel dan kumpulan yang menggunakan cara haram serta khianat hingga merosakkan sendi negara. Kita tidak akan tolak ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar turut menegaskan kejayaan memecahkan kartel ayam yang bertapak sejak puluhan tahun menjadi bukti keberkesanan tekad politik serta sokongan penuh agensi penguatkuasaan.
Pada masa sama, beliau menegaskan usaha kerajaan membebaskan negara daripada kegiatan tidak bermoral seperti penyeludupan, rasuah dan penyelewengan akan terus digerakkan.
Dalam amanatnya, Anwar turut menyatakan pendirian Malaysia untuk kekal konsisten memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin walaupun berdepan tekanan geopolitik antarabangsa.
“Kita tegas dalam soal Gaza, tegas dalam soal hak kemanusiaan, tetapi tetap pertahankan persahabatan agar rakyat tidak terkorban dan ekonomi kita dapat terus dikuatkan. Kalau ambil sentimen ekstrem, akibatnya perang di sana, perang di sini, rakyat pula merempat,” ujarnya.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang memperlekehkan pendirian negara berhubung isu Palestin, malah kekal berpegang pada prinsip kemanusiaan sejagat.
Kira-kira 4,000 tetamu hadir pada majlis itu terdiri daripada penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, anggota beruniform, usahawan, pekerja swasta, belia, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” akan berlangsung di Dataran Putrajaya bermula jam 7 pagi esok.
— BERNAMA