Kerajaan, NGO selaras usaha bantu Palestin — Dr Zulkifli Hassan
Mesyuarat strategik bersama NGO seperti Ops Ihsan, Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla Coalition sebagai langkah penting menyelaras bantuan kemanusiaan
KUALA LUMPUR – Sebagaimana dijanjikan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pembentangan Belanjawan 2026 telah memanggil satu mesyuarat khas bagi meneruskan program bantuan ke Gaza dari kerajaan Malaysia menerusi pelbagai NGO.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang menghadiri mesyuarat berkenaan, menyifatkan pertemuan strategik yang dipengerusikan oleh PM bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia itu adalah langkah penting dalam menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan selepas rejim Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Dr Zulkifli berkata, mesyuarat yang turut dihadiri oleh NGO seperti Ops Ihsan, Sumud Nusantara dan Freedom Flotilla Coalition menjadi wadah penyatuan antara kerajaan dan masyarakat sivil dalam memperkukuh koordinasi bantuan serta pelan jangka panjang pembinaan semula Gaza.
“Pertemuan ini sangat strategik bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin. Semua NGO yang hadir sememangnya berpengalaman luas dengan kerja kemanusiaan termasuk di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, sinergi antara kerajaan, sektor korporat dan rakan antarabangsa seperti Mesir, Jordan, Turkiye, Qatar dan Jepun adalah penting bagi memastikan setiap inisiatif bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan.








