PalestinSemasa

Pencerobohan Israel musnahkan pertanian Palestin, kerugian hampir $7 juta dalam seminggu

Serangan berterusan oleh tentera Israel dan peneroka haram di Tebing Barat yang diduduki telah menyebabkan kemusnahan besar terhadap sektor pertanian Palestin, dengan kerugian dianggarkan hampir $7 juta dalam tempoh hanya satu minggu, menurut Kementerian Pertanian Palestin.

Dalam laporan mingguannya yang dikeluarkan pada Khamis, kementerian itu memaklumkan bahawa lebih 8,000 pokok zaitun telah dimusnahkan sepanjang minggu ketiga Disember, susulan peningkatan ketara serangan yang disifatkan sebagai semakin berbahaya dan pantas. Serangan tersebut didakwa menyasarkan secara langsung sumber keselamatan makanan rakyat Palestin serta kelangsungan hidup petani tempatan.

Menurut laporan berkenaan, tindakan itu merupakan sebahagian daripada dasar sistematik Israel yang bertujuan merampas tanah Palestin dan mengosongkannya daripada penduduk asal. Kerosakan paling teruk direkodkan di utara dan tengah Tebing Barat, apabila tentera Israel menumbangkan sekitar 5,000 pokok zaitun di Silat al Harithiya, barat Jenin, serta 3,000 pokok zaitun di Turmus Ayya, timur Ramallah.

Selain itu, operasi jentolak turut dilaporkan di beberapa kawasan lain, termasuk pencabutan 156 pokok zaitun di Baitulmaqdis Timur, pemusnahan 100 pokok ara di Tulkarem, 13 pokok zaitun di timur Qalqilya, serta 19 pokok zaitun di Salfit dan Bethlehem, termasuk 10 pokok purba yang menjadi warisan turun-temurun petani Palestin.

Laporan sama turut mendokumentasikan kemusnahan meluas infrastruktur pertanian, termasuk perobohan 13 perigi air dan bilik pertanian, kerosakan sistem pengairan, kecurian pam air, kemusnahan 82 sarang lebah serta kes keracunan kawanan biri-biri di beberapa lokasi berasingan.

Kementerian Pertanian Palestin menegaskan bahawa peningkatan keganasan ini sering berlaku serentak dengan musim menuai dan penanaman, yang menurut penduduk tempatan bertujuan menekan petani agar meninggalkan tanah mereka. Data Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok menunjukkan peneroka haram Israel melancarkan 621 serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka sepanjang November sahaja.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel dan peneroka haram dilaporkan telah membunuh sekurang-kurangnya 1,103 rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, mencederakan hampir 11,000 orang dan menahan sekitar 21,000 individu. Perkembangan ini berlaku meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Julai lalu mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.

Sumber: AA

Related Articles

Back to top button