DomestikSemasa

Kerajaan Sasar 25,000 Penerima Manfaat Bakat MADANI – PM Anwar

Kerajaan mensasarkan seramai 25,000 individu bakal menerima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Bakat MADANI merupakan satu inisiatif nasional yang menggabungkan peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan Petronas demi memperkasakan agenda pembangunan bakat negara. Tambah beliau, program ini memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan kemahiran, penyediaan peluang pekerjaan yang berkualiti, serta peningkatan mobiliti sosial masyarakat.

“Pendedahan peluang dalam program ini mencecah kira-kira 25,000 orang. Jadi anak-anak jangan lupa, nyatakan penghargaan kepada badan korporat yang sudi membantu menguruskan dengan baik. Kalau mereka tidak mengurus dengan baik, tidak dapat program ini dilakukan kerana pembiayaan itu adalah pembiayaan mereka, bukan pembiayaan saya,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian program berkenaan di Sendayan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama barisan kepimpinan tertinggi GLIC, GLC, dan Petronas.

Sementara itu, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan bahawa inisiatif ini bertumpu kepada tiga bidang utama:

  • Memperkukuh kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC, dan Petronas.

  • Memperluas peluang penempatan pekerjaan merentas sektor-sektor strategik negara.

  • Memperkasakan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Tanggungjawab kita adalah membina jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang tersedia, dan itulah matlamat utama Bakat MADANI. Apabila kita melabur dalam pembangunan rakyat, kita turut memperkukuh asas ekonomi negara,” kata Amir Hamzah sambil menambah bahawa fokus akan diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital, dan pembuatan termaju.

Bagi menggalakkan penglibatan sektor industri yang lebih meluas, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai istimewa kepada syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah inisiatif ini. Insentif baharu ini merangkumi peluasan liputan kepada lepasan TVET serta peningkatan kadar elaun minimum pelatih.

Pelbagai program strategik turut diperkasa di bawah payung Bakat MADANI, antaranya transformasi program VISTA kepada ‘Vista i-Plus’ oleh Petronas melibatkan institusi TVET seperti IKM, IKBN, ADTEC, dan ABM. Selain itu, Khazanah Nasional Berhad turut menjalin kerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi termasuk UiTM, UTeM, dan UMS bagi mempersiapkan bakat muda mendepani alam pekerjaan.

Sumber Rujukan: BERNAMA

Related Articles

Back to top button