
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menjangkakan kesan langsung daripada sekatan atau cabaran pasaran Amerika Syarikat (AS) terhadap industri minyak sawit Malaysia hanya pada tahap minimum.
Menurut KPK, minyak sawit Malaysia telah mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan memiliki ciri serta fungsi khusus yang sukar digantikan dengan minyak lain.
“Oleh itu, tahap kebergantungan industri di AS terhadap bahan berasaskan sawit yang mampan adalah tinggi,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Kamal Ashaari (PN–Kuala Krau) mengenai pelan jangka pendek dan sederhana kerajaan bagi menyesuaikan industri sawit dengan pasaran AS.
Pada tahun 2024, Malaysia mengeksport sebanyak 191,231 tan metrik minyak sawit ke AS, iaitu hanya 1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit negara bagi tempoh sama.
Dalam masa yang sama, kerajaan kekal komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan, khususnya kepada pekebun kecil.
“Antara inisiatif tersebut termasuk Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit serta geran khas seperti pembekalan produk kawalan penyakit reput pangkal batang ganoderma. Bantuan ini mampu mengurangkan kesan perubahan dasar perdagangan antarabangsa terhadap pekebun kecil di Malaysia,” jelas kementerian itu.
— BERNAMA