DuniaSemasa

Ketua PBB gesa semua pihak bertenang ketika Honduras menanti keputusan pilihan raya

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres menggesa semua pihak di Honduras supaya kekal bertenang dan menahan diri ketika negara itu masih menantikan pengumuman rasmi keputusan pilihan raya umum yang diadakan pada 30 November lalu.

Jurucakap Guterres, Farhan Haq, dalam satu kenyataan berkata ketua PBB itu mengikuti perkembangan di Honduras dengan teliti selepas proses pengundian berakhir dalam suasana yang disifatkan tenang dan teratur. Namun begitu, beliau menyatakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat berikutan kelewatan pengisytiharan keputusan rasmi.

Menurut Haq, Guterres menggesa semua pihak agar mengelakkan penggunaan bahasa atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan serta membenarkan institusi pilihan raya menjalankan tanggungjawab mereka tanpa campur tangan. Beliau turut menekankan supaya sebarang pertikaian berkaitan pilihan raya ditangani melalui mekanisme undang-undang yang telah ditetapkan.

Guterres juga menegaskan kepentingan pengumuman keputusan rasmi dibuat mengikut garis masa perlembagaan dan memastikan peralihan kuasa berlangsung secara teratur pada 27 Januari seperti yang diperuntukkan.

Pilihan raya umum Honduras pada 30 November lalu mencetuskan krisis politik susulan masalah teknikal pada platform dalam talian yang digunakan untuk memaparkan keputusan, selain dakwaan pelanggaran keselamatan dalam sistem pengiraan undi. Parti pemerintah dan beberapa pegawai pilihan raya dilaporkan terus mempersoalkan kesahihan keputusan ekoran kebimbangan terhadap ketidakkonsistenan yang dikesan dalam proses pengiraan tersebut.

Sumber: BERNAMA-ANADOLU

Related Articles

Back to top button