
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang menilai keperluan menambah peruntukan bagi pembukaan kawasan baharu tanaman getah, khususnya di daerah miskin tegar seperti Ranau, Sabah.
Menurut jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, langkah ini adalah usaha proaktif yang turut merangkumi pengenalpastian tanah sesuai, pemberian input pertanian, dan penyediaan anak benih getah berkualiti tinggi.
KPK turut melaksanakan program pembangunan tanaman getah secara berkelompok, latihan, serta bimbingan teknikal kepada peserta.
“Sejak 2021 hingga 2024, melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), sebanyak 19 blok tanaman telah diwujudkan di Ranau melibatkan 324 peserta dengan keluasan 1,011.36 hektar, membabitkan peruntukan keseluruhan RM19.21 juta,” kata KPK.
Menjawab pertanyaan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai bantuan untuk tanaman koko, kelapa sawit dan getah, KPK memaklumkan bahawa bagi sektor sawit, cadangan pembukaan kawasan baharu dan subsidi khusus pekebun kecil masih dalam penilaian.
Sementara itu, bagi sektor koko, Ranau dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi tinggi dan antara penyumbang utama pengeluaran koko negara. Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah menerima lebih 500 hektar permohonan tanaman baharu, melaksanakan program pembangunan berterusan, serta membangunkan Kompleks Kluster Koko Ranau yang dijangka siap tahun ini.
KPK yakin usaha ini dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Ranau secara berperingkat.