
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan sekiranya wujud pelanggaran terhadap surcaj tambang yang dikenakan kepada penumpang, mereka boleh menggantung lessen syarikat pengendali e-hailing.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengendali e-hailing diberi kelonggaran mengenakan surcaj maksimum sehingga 200 peratus daripada tambang asas mengikut dasar ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya, pengendali e-hailling boleh mengenakan cas tambang antara 70 hingga 90 sen setiap kilometer perjalanan berbanding RM1.25 setiap km bagi perkhidmatan teksi.
“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melakukan siasatan mengenai perkara itu dan jika wujud pelanggaran, lesen mereka akan digantung. Kita tengah siasat dari semua aspek kerana akhirnya perlesenan (kuasa memberi lesen) terletak pada MOT.
“Jangan paksa saya untuk ‘perang’ kerana apabila sampai satu tahap apabila saya tiada pilihan, maka saya akan lakukan sesuatu termasuk mengawal selia industri ini”, katanya.
Tambahnya lagi, rungutan yang disuarakan oleh pengguna atas isu yang berlaku ketika ini termasuk kenaikan tambang perlu dijawab oleh pengendali e-hailing.
Ka Siong berkata, masalah yang berlaku, MOT tidak akan membantu mereka dalam menerangkan isu tersebut.
“Satu perkara yang saya tidak sedap dengar adalah mereka (pengendali e-hailing) dakwa MOT tidak bantu mereka dan ia tidak betul sama sekali.
“Kalau tak dapat cari pemandu, jangan marah kepada MOT. Ia bukan masalah kami, itu masalah kamu. Mereka tidak cukup orang (pemandu), kita pula dipersalahkan,” katanya
-Agensi