DomestikSemasa

Liga Super: JDT Kekal Rekod Tanpa Kalah Walau Beraksi 10 Pemain, Selangor Lonjak Tangga Kedua

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super 2025/2026 selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. Perlawanan tersebut menyaksikan drama apabila kapten pasukan tuan rumah, Natxo Insa, dilayangkan kad merah pada minit ke-55 selepas semakan VAR mendapati beliau melakukan kekasaran terhadap pemain lawan, Scott Woods.

Meskipun JDT mendominasi permainan sejak awal, Kuching City FC terlebih dahulu mencipta kejutan menerusi jaringan Scott Woods pada minit ke-41. Bagaimanapun, Harimau Selatan bangkit selepas beraksi dengan 10 pemain menerusi gol penyamaan Ignacio Mendez pada minit ke-58, sebelum penyerang berbisa Bergson da Silva mengesahkan kemenangan pada minit ke-64 hasil hantaran Manuel Hidalgo. Kejayaan ini membuktikan kekuatan mental anak buah Hector Bidoglio dalam mengekalkan rentak kemenangan mereka.

Sementara itu, Selangor FC di bawah kendalian Kim Pan Gon berjaya melonjak ke tangga kedua liga selepas menundukkan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Gol tunggal perlawanan tersebut dihasilkan menerusi tandukan padu Nooa Laine pada minit ke-61 hasil sepakan penjuru Mukhairi Ajmal. Keputusan ini memberikan tonik berharga buat skuad Gergasi Merah untuk terus memberikan cabaran di kelompok teratas liga.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka FC mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas PDRM FC. Muhammad Sharel Fikri Md Fauzi memulakan pesta gol pada minit ke-55, diikuti gol malang Badrul Effendy Fadli yang tertampan bola ke gawang sendiri tiga minit kemudian. Abdul Azim Rahim melengkapkan kemenangan mutlak buat pasukan tuan rumah pada minit ke-90. Dalam satu lagi perlawanan, Penang FC turut meraih tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC hasil jaringan Faith Obilor pada babak pertama perlawanan.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button