EkonomiSemasa

Malaysia Airlines Catat Prestasi Tepat Masa Tertinggi Bagi Penerbangan Domestik Setakat Mei 2025

Malaysia Airlines terus mengungguli prestasi tepat masa (OTP) bagi penerbangan domestik apabila mencatatkan kadar 85.3 peratus setakat Mei 2025, mengatasi AirAsia (84.5 peratus) dan Batik Air (73.5 peratus), menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

Pada tahun sebelumnya, Malaysia Airlines merekodkan OTP 84.7 peratus, diikuti Batik Air 73.9 peratus dan AirAsia 67.9 peratus. OTP merujuk kepada keupayaan syarikat penerbangan mengendalikan penerbangan mengikut jadual yang ditetapkan.

MOT menjelaskan, sekiranya berlaku gangguan penerbangan, syarikat penerbangan diwajibkan menggerakkan pasukan pengendalian kelewatan, mengeluarkan kenyataan media dalam tempoh 24 jam bagi gangguan utama, serta menyerahkan laporan terperinci kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kementerian, melalui CAAM, akan meneliti setiap aduan penumpang dan mengambil tindakan sewajarnya. Semua kes perlu diselesaikan seperti yang digariskan dalam Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” kata MOT dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) mengenai punca utama kelewatan penerbangan domestik yang semakin kerap, serta langkah segera dan jangka panjang yang diambil bagi melindungi hak serta mengurangkan kerugian penumpang.

Data OTP bagi syarikat penerbangan tempatan mula diterbitkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sejak 2024, sebelum tanggungjawab tersebut diambil alih oleh CAAM sebagai sebahagian usaha kerajaan meningkatkan ketelusan.

Menurut MOT, MACPC yang ditambah baik dan diwartakan pada 2 September 2024 kini memberikan perlindungan pengguna yang lebih kukuh. Antara penambahbaikan itu termasuk kewajipan syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik dalam bentuk pembayaran asal bagi kelewatan melebihi lima jam, termasuk yang berpunca daripada keadaan luar biasa.

“MACPC juga mewajibkan syarikat penerbangan menawarkan hak-hak tertentu kepada penumpang, sama ada dalam kes kelewatan atau pembatalan penerbangan, bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” jelas kenyataan itu lagi.

Langkah-langkah ini, menurut MOT, diharap dapat meningkatkan prestasi industri penerbangan negara, di samping memberikan jaminan kepada pengguna bahawa hak mereka sentiasa dipertahankan.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button