DuniaSemasa

Malaysia, ASEAN Timbang Tenaga Nuklear Sebagai Sumber Baharu

Malaysia bersama beberapa negara anggota ASEAN secara asasnya bersetuju untuk menimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga baharu pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata antara negara jiran yang turut mempertimbangkan perkara itu ialah Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Thailand.

“Dalam usaha memastikan pembangunan ekonomi negara serta bekalan tenaga yang mencukupi kepada industri, khususnya ekonomi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, kerajaan perlu memastikan bekalan tenaga yang terjamin. Maka, tenaga nuklear turut dipertimbangkan sebagai salah satu sumber baharu.

“Baru-baru ini di Korea Selatan, Mesyuarat Menteri Tenaga APEC turut bersetuju bahawa tenaga nuklear merupakan antara pilihan untuk menjamin bekalan tenaga bersih,” katanya ketika berucap pada Malam Media Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini malam ini.

Fadillah berkata loji tenaga nuklear generasi kedua dan ketiga kini berkembang dengan baik dari segi teknologi, keselamatan, kelestarian alam sekitar serta penerimaan masyarakat antarabangsa.

Beliau menjelaskan, agensi di bawah PETRA, MyPower, telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kajian berhubung penggunaan tenaga nuklear, namun pelaksanaannya dijangka hanya berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Selain itu, katanya, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan sistem grid pintar bagi memastikan penjanaan tenaga lebih cekap, memandangkan tenaga solar dan sumber boleh baharu lain masih bersifat tidak stabil.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button