Semasa

Malaysia perkasa sistem pos antarabangsa dalam pasca pandemik

PUTRAJAYA : Malaysia komited capai Agenda Pembangunan Lestari 2030 melalui Kesatuan Pos Sedunia (UPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) demi kesejahteraan sejagat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM, Ma.Sivanesan, berkata Malaysia bersedia membangunkan sistem pos antarabangsa ketika pasca pandemik Covid-19 ini.

“Komitmen ini diterjemahkan melalui usaha kerajaan Malaysia mempertahankan kerusi Majlis Pentadbiran (CA) serta turut bertanding untuk kerusi Majlis Operasi Pos (POC), Universal Postal Union penggal 2022-2025.” katanya.

Tambah beliau, dalam menangani pandemik ini, kerajaan mengambil pendekatan seimbang antara dua. komponen utama iaitu kehidupan (live) dan kelangsungan hidup (livelihood).

Hal ini kerana, kedua-dua komponen ini merupakan fokus penting serta sebahagian daripada rantaian global.

“Semua pihak perlu membangunkan momentum dalam dunia pasca pandemik dengan visi yang jelas untuk menarik minat pelabur ke dalam sektor ini  dengan membina rangkaian sistem pos antarabangsa yang mampan.

“Justeru, memudahkan ekosistem pengiriman surat dan bungkusan abad ke-21 dengan UPU sebagai ‘global orchestrator’ bagi merealisasikan hasrat ini.

“Kesesuaian UPU dalam ekonomi digital baharu harus diperluas melalui strategi yang bersesuaian dengan dasar, peraturan dan piawaian pos antarabangsa.” ulas Sivanesan dalam Persidangan Peringkat Menteri yang berlangsung pada 9 Ogos hingga 27 Ogos 2021.

Sivanesan turut mengatakan sekiranya peluang ini dimanfaatkan, ia dapat mengukuhkan rangakian UPU juga membuka peluang baharu kepada pelbagai pihak.

Beliau mengulas KKMM perlu memperkasakan penguasaan data, kecerdasan buatan dan inovasi untuk membawa sistem pos ke era digitalisasi global.

Selama tinggal penggal sejak 1958 menjadi anggota Kesatuan Pos Sedunia, Malaysia memainkan peranan aktif dan terlibat dalam Jawatankuasa Kerja Utama melibatkan kewangan, sumber manusia dan tadbir urus.

Malaysia turut memuji usaha UPU dalam mengembangkan Strategi Pos Abidjan yang akan menentukan arah dan masa hadapan UPU dalam tempoh empat tahun akan datang.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button