
Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menarik lebih dua juta pengunjung dan meraih potensi pelaburan melebihi RM9.1 bilion sejak pembukaan pada 13 April lalu.
Timbalan Pengarah Pavilion, Nor Haslynda Wan Rahim, berkata sambutan hangat terutama daripada rakyat Jepun, mendorong Malaysia melepasi sasaran awal penyertaan.
Antara tarikan utama ialah hidangan ikonik negara seperti roti canai dan nasi lemak, yang dinobatkan sebagai pengalaman kulinari terbaik oleh tinjauan stesen televisyen Jepun. “Pengunjung sanggup beratur hampir dua jam untuk mencuba ‘roti canai terbang’, dengan harga RM50 sepinggan. Purata jualan mencecah 1,500 keping sehari,” katanya.
Selain mempromosikan makanan, pavilion turut menjadi platform untuk memadankan syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan pelabur antarabangsa dalam sektor tenaga boleh baharu, teknologi digital, bioteknologi, hartanah, infrastruktur dan penjagaan warga emas.
Mengulas mengenai pertikaian reka bentuk pavilion, Nor Haslynda memaklumkan perbincangan sedang dijalankan dan berharap ia dapat diselesaikan tanpa menjejaskan operasi sehingga penutupan ekspo pada 13 Oktober 2025.
Ekspo Dunia 2025 Osaka dianjurkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai usaha mempamerkan budaya, warisan dan kekuatan ekonomi Malaysia kepada dunia.
— BERNAMA