PalestinSemasa

Pelapor PBB Kecam Israel Atas Krisis Kebuluran di Gaza

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese, mengutuk keras Israel kerana sengaja menyebabkan kebuluran berjuta-juta penduduk dan pembunuhan kanak-kanak di Gaza. Kecaman ini dibuat susulan laporan kematian seorang warga Palestin kurang upaya, Mohammad al-Sawwafiri, 35, yang meninggal dunia akibat kelaparan di wilayah terkepung itu pada Ahad.

Dalam kenyataannya di platform X, Albanese menyamakan kekejaman Israel dengan jenayah penjajahan yang tidak boleh dibiarkan. “Generasi saya diajar bahawa Nazisme adalah kejahatan terbesar; dan ia benar. Hari ini, sebuah negara (Israel) yang menyebabkan kelaparan berjuta-juta dan menembak kanak-kanak demi keseronokan, dilindungi oleh demokrasi dan diktator, adalah jurang kekejaman baru,” katanya, sambil mempersoalkan, “Bagaimana kita akan bertahan?”

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa 86 rakyat Palestin, termasuk 76 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan akibat sekatan Israel yang menghalang bantuan kemanusiaan sejak Oktober 2023. Israel telah menutup semua laluan masuk ke Gaza sejak 2 Mac, mempercepatkan krisis kebuluran di wilayah itu.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, serangan Israel telah membunuh hampir 59,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dengan kira-kira 11,000 lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan. Pakar menganggarkan jumlah kematian sebenar mungkin mencecah 200,000, jauh melebihi laporan rasmi. Gaza kini porak-peranda, dengan hampir keseluruhan penduduknya terpaksa berpindah akibat kemusnahan meluas.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button