DomestikSemasa

Mesir Temui Ratusan Keranda, ‘Lidah Emas’ di Tanah Perkuburan Purba

Ahli arkeologi Mesir menemukan sebuah tanah perkuburan purba yang mengandungi ratusan keranda, kepingan ‘lidah emas’ serta pelbagai barang kemas di wilayah utara Menoufia, menurut kenyataan Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir pada Rabu.
Penemuan di tapak arkeologi Tell Kom Abu Billo itu merangkumi keranda batu dan tembikar, sisa keranda kayu serta makam berkubah yang dibina daripada bata lumpur.
Pengebumian berkenaan merentasi penghujung Zaman Akhir Mesir, era Ptolemaik hingga ke zaman Rom awal, dengan kajian awal menunjukkan sebahagian besar tanah perkuburan tersebut berasal dari abad ketiga dan kedua Sebelum Masihi (SM).
Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Hisham El-Leithy berkata penumpuan kawasan pengebumian dan keranda di halaman terbuka seumpama itu tidak pernah direkodkan sebelum ini di tapak berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan awal terhadap artifak yang dikebumikan bersama jasad menunjukkan bahawa tanah perkuburan itu kebanyakannya dikhaskan untuk golongan masyarakat kelas pertengahan. Tinggalan seni bina yang terbentang di bawah lapisan pasir dan serpihan di sekitarnya turut memberi petunjuk bahawa masih banyak struktur lain yang tertimbus.
Antara artifak berharga yang ditemukan termasuk kepingan emas berbentuk lidah, anting-anting, loket rantai leher dan kepingan emas nipis, di samping azimat scarab serta patung pengebumian kecil yang dikenali sebagai ushabtis, dengan sebahagian daripadanya mempunyai ukiran inskripsi hieroglif.
Pasukan arkeologi turut menjumpai patung sphinx bersaiz mini, serpihan patung dewa helang Horus serta dua pengebumian burung helang di celah-celah keranda berkenaan.
Selain itu, terdapat juga objek-objek yang menggambarkan Isis-Aphrodite, termasuk sekeping artifak tanah liat yang memaparkan dewi tersebut sedang duduk di atas bunga teratai sambil menyusukan bayi Harpocrates.
Beberapa keranda didapati telah kehilangan penutupnya, manakala sebahagian lagi pecah akibat kerosakan dan aktiviti penggalian terdahulu. Sisa-sisa jasad manusia yang kurang terpelihara itu bagaimanapun masih menyimpan kesan bahan pembalseman dan resin, berserta sisa penutup keranda yang dicat dengan warna kuning, merah, biru dan emas.
Tanah perkuburan ini terletak di kawasan arkeologi purba Terenouthis, di pintu masuk timur Wadi El Natrun, yang secara sejarahnya merupakan sumber utama garam natron yang digunakan dalam proses mumifikasi.
Kerja-kerja penggalian sebelum ini di kawasan sama turut mendedahkan tinggalan sebuah bandar serta sebuah kuil yang didedikasikan khas untuk dewi Hathor.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kerja-kerja penggalian dan kajian lanjut akan terus dijalankan bagi mengenal pasti dengan lebih terperinci latar belakang masyarakat yang dikebumikan di situ serta tradisi pengebumian mereka.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)

Related Articles

Back to top button