KUALA LUMPUR: Kemalangan ngeri membabitkan dua penunggang motosikal terselamat dan empat kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dekat sini, semalam.
Kedua-dua penunggang motosikal lelaki, berusia 44 dan 32 tahun, mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya patah kaki kanan, manakala pemandu kereta cedera ringan pada tangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kemalangan membabitkan dua motosikal serta sebuah lori dan kereta, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila sebuah kereta mahu memotong sebuah lori di hadapannya.
“Ketika pemandu kereta mengubah laluan dari lorong kiri ke laluan kanan, dua penunggang motosikal yang berada di belakang cuba mengelak sebelum hilang kawalan dan terlanggar belakang kereta itu.
“Akibat pelanggaran, kereta dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun itu hilang kawalan dan berpusing melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri serta kanan laluan sebelum melanggar lori yang berada di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, kata Azman, pemandu lori berusia 37 tahun tidak cedera.
“Kedua-dua penunggang motosikal yang cedera dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan manakala pemandu kereta sudah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada jam 1.26 tengah hari tadi berkaitan kemalangan itu serta membantu siasatan,” katanya.
Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan polis.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Gombak, Inspektor Norazlan di talian 019-7974466 atau Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.
Dalam pada itu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan detik-detik kemalangan itu turut tular di media sosial, semalam.
Tangkap layar daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan detik-detik kemalangan berhampiran Plaza Tol Kundang Barat hala ke Sabak Bernam, hari ini. Video Ihsan Media sosial pic.twitter.com/8PAjIWTrmQ
— Berita Harian (@bharianmy) February 23, 2022
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today