GAZA – Hamas, pada Selasa memaklumkan bahawa pasukan keselamatan khasnya yang dikenali sebagai unit Radea telah ‘menumpaskan dengan teruk’ sebuah kumpulan bersenjata di Gaza yang didakwa bersekongkol dengan Israel.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata pasukan Radea telah melancarkan “operasi awal pagi Selasa di selatan Semenanjung Gaza, menyasarkan militan yang diketuai oleh pelarian Yasser Abu Shabab”.
Hamas turut menambah bahawa beberapa anggota kumpulan Abu Shabab yang dikenali sebagai Popular Forces telah ditahan dalam operasi tersebut, selain merampas peralatan ketenteraan dan alatan yang digunakan dalam aktiviti subversif mereka.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan untuk mengekang pengkhianatan. Unit Radea baru-baru ini ditubuhkan oleh Hamas, dengan nama yang bermaksud ‘pencegahan’ dan berperanan untuk menguatkuasakan ketenteraman.
Pergaduhan bersenjata dilaporkan tercetus awal minggu lalu di kawasan kejiranan Shujaiya, Gaza City, antara pasukan Radea dan beberapa kumpulan bersenjata lain termasuk kumpulan Yasser Abu Shabab, yang dituduh Hamas sebagai melakukan rompakan dan menerima senjata daripada Israel.
Kumpulan Popular Forces pimpinan Abu Shabab pada asalnya beroperasi di wilayah Rafah di selatan Gaza dan pernah dituduh menyeleweng bantuan kemanusiaan.
Pada Julai lalu, Abu Shabab mendakwa kumpulannya bebas bergerak di kawasan yang berada di bawah kawalan tentera Israel dan memaklumkan operasi mereka lebih awal.
Pihak berkuasa Israel sendiri pada Jun lalu mengakui bahawa mereka telah membekalkan senjata kepada kumpulan Palestin yang menentang Hamas, namun tidak menamakan secara khusus kumpulan yang diketuai oleh Abu Shabab.
Sejak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza pada 10 Oktober lalu, pergerakan Hamas dilihat berusaha mengukuhkan semula pengaruhnya di lapangan serta mempertegas kawalannya ke atas wilayah Palestin yang musnah itu.
Minggu lalu, saluran televisyen rasmi Hamas menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan pelaksanaan hukuman mati terhadap 8 individu yang dituduh bersekongkol, ditembak di hadapan orang ramai di sebuah jalan di Gaza City.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu menegaskan bahawa perang di Gaza tidak akan berakhir selagi Hamas belum melucutkan senjata seperti yang digariskan dalam perjanjian gencatan senjata yang ditaja oleh Amerika Syarikat.
Hamas setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu sejak Presiden AS, Donald Trump, membentangkan pelan berkenaan dua minggu lalu. — AFP







