
Seorang pelajar tingkatan satu memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa dia melihat individu memakai baju sukan bertulis “Hanafi” mengurung diri dalam tandas asrama sekitar pukul 2.35 pagi pada 16 Julai lalu, beberapa jam sebelum Zara Qairina Mahathir ditemui meninggal dunia.
Saksi kanak-kanak ke-22 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, memberikan keterangan itu pada hari ke-28 prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli membabitkan Zara berkata keterangan itu penting kerana ia merujuk kepada tempoh paling hampir dengan kejadian. Menurutnya, saksi memaklumkan bahawa ketika dia pergi mandi awal pagi bagi mengelak kesesakan, dia menolak pintu tandas pertama yang tertutup tetapi pintu itu kembali tertolak seolah-olah ada individu sedang duduk menyandar di dalamnya sambil memakai baju sukan bertulis “Hanafi”.
Goh berkata saksi tidak sempat melihat wajah individu itu namun mengecam baju yang dipakai. Sekitar jam 3 pagi, ketika hampir selesai mandi, saksi mendengar pintu tandas itu dibuka sebelum individu berkenaan keluar.
Sementara itu, peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Zara memaklumkan bahawa saksi turut memberitahu mahkamah beberapa guru pernah memaklumkan kepada pelajar perempuan di musolla bahawa kematian Zara bukan akibat buli tetapi disebabkan bunuh diri.
Menurut Rizwandean, saksi juga menceritakan bahawa pelajar junior sering diarahkan oleh pelajar senior untuk melakukan tugas seperti menyeterika pakaian dan mengambil air panas, selain pernah mendengar kata-kata kesat semasa mesyuarat aras yang diadakan selepas Maghrib atau Isyak.
Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa ini.
Sumber: Bernama







