HULU TERENGGANU: Pelita ‘nyor’ (pelita kelapa) menjadi tarikan sempena Program Pelita Raya Terengganu 2023 di Kampung Budaya Terengganu, malam tadi.
Pelita ‘nyor’ merupakan pelita masyarakat terdahulu di negeri ini untuk menerangi sekitar kediaman mereka dan penggunaannya agak meluas kerana sumber cahaya itu tahan agak lama.
Inisatif Pejabat Daerah Hulu Terengganu mempamerkan pelita tradisional itu adalah satu usaha baik sebagai tatapan generasi pada masa kini yang tidak lagi melihatnya dalam zaman serba moden ini.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Mohd Kamal Abdul Rahman, 41, berkata, pemilihan buah serbaguna itu untuk dijadikan pelita sempena Program Pelita Raya Terengganu 2023 (PELITER @KBT).
“Buah kelapa sesuai digunakan untuk dijadikan pelita kerana bentuknya yang keras. Lagipun masyarakat terdahulu juga ada gunakan kelapa untuk dijadikan pelita.”
Menurut Mohd Kamal lagi, pembuatan pelita itu agak mudah kerana menggunakan bahan terpakai seperti kelapa tua terbuang serta tin alumanium untuk dijadikan sumbunya, yang dapat meminimunkan kos pembuatannya.
Beliau berkata pelita tersebut bakal menjadi tarikan pada Program Pelita Raya Terengganu yang akan berlangsung bermula 14 hingga 18 April ini sekaligus dapat menghidupkan kembali nostalgia zaman dahulu yang diterangi cahaya pelita kelapa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, program pada malam tujuh likur yang bertemakan Comeynya Peliter mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.