
Tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini ialah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual berlangsung pada pukul 12 tengah hari.
Pembentangan ini akan menggariskan hala tuju pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang, dari 2026 hingga 2030. Menurut Anwar, RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dan disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh yang memberi penekanan kepada keadilan dan kesaksamaan tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan rakyat.
Beliau berkata, penyediaan rancangan itu melibatkan sesi libat urus yang luas bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri, sektor swasta, dan pertubuhan masyarakat sivil.
Selepas pembentangan hari ini, Dewan Rakyat akan ditangguhkan sebelum sesi perbahasan RMK13 bermula pada Isnin depan selama lapan hari, diikuti sesi jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari bermula 18 Ogos.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pagi ini, antara isu yang diketengahkan termasuk cadangan pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), serta pelaksanaan dan kelayakan penerima bagi inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang diajukan oleh Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera).
Sementara itu, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) meminta penjelasan daripada Menteri Pendidikan mengenai penempatan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG), manakala Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) meminta maklumat mengenai peruntukan RM50 juta untuk penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam.
Turut dibangkitkan ialah isu kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar kecerdasan buatan (AI) di Malaysia, yang diajukan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 24 hari, berakhir pada 28 Ogos.
Sumber: BERNAMA