DomestikSemasa

Penduduk bukan warganegara di Malaysia dianggarkan 3.38 juta pada 2025

Jumlah penduduk bukan warganegara di Malaysia dianggarkan seramai 3.38 juta pada 2025 dengan kadar pertumbuhan tahunan mencatatkan penurunan kepada negatif 0.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Anggaran itu turut menunjukkan komposisi penduduk bukan warganegara menurun sedikit daripada 10.0 peratus pada 2024 kepada 9.9 peratus pada 2025.

Berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa, Malaysia, 2025 yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 33 daerah pentadbiran mencatatkan komposisi penduduk bukan warganegara melebihi paras nasional iaitu 9.9 peratus. Laporan itu merupakan penerbitan sulung DOSM berkaitan statistik migrasi antarabangsa, selaras dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengesyorkan penyediaan statistik stok dan aliran migrasi secara bersepadu serta berterusan oleh negara ahli.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penerbitan berkenaan menjadi asas penting kepada pembangunan sistem data migrasi antarabangsa yang lebih tersusun dan konsisten mengikut piawaian antarabangsa. Menurut beliau, tumpuan awal diberikan kepada statistik stok migran yang merangkumi anggaran penduduk bukan warganegara di Malaysia serta stok warganegara Malaysia di luar negara.

Beliau menjelaskan bahawa penyediaan statistik stok migrasi ini akan terus dipertingkatkan melalui peluasan liputan data dan penambahbaikan metodologi bagi memastikan ketepatan, kebolehpercayaan dan keseragaman maklumat. DOSM juga akan memperkukuh koordinasi dengan agensi berkaitan bagi menyokong penghasilan statistik migrasi antarabangsa yang lebih tepat, menyeluruh dan relevan untuk perancangan negara.

Menurut DOSM, statistik migrasi antarabangsa merupakan input penting dalam penggubalan dasar dan perancangan program berkaitan migrasi, selain menjadi sumber rujukan utama kepada penyelidik dan ahli akademik. Migrasi antarabangsa memainkan peranan signifikan dalam membentuk struktur kependudukan negara dengan kesan langsung terhadap pasaran buruh, penyediaan perkhidmatan sosial serta perancangan pembangunan sosioekonomi.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button