PalestinSemasa

Penerbangan disokong Israel didakwa memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza secara rahsia

Laporan baharu dari akhbar Israel Haaretz mendedahkan kewujudan rangkaian penerbangan sewaan yang didakwa dikendalikan oleh entiti berkait Israel untuk membawa rakyat Palestin keluar dari Gaza menuju beberapa negara Afrika dan Asia. Operasi ini digambarkan sebagai usaha kemanusiaan, namun siasatan mendapati adanya struktur organisasi yang tersusun dan kerahsiaan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pertubuhan hak asasi manusia.

Pendedahan ini tercetus selepas insiden di Johannesburg apabila 153 rakyat Palestin tiba dari Kenya tanpa dokumen perjalanan lengkap dan hampir tidak dibenarkan masuk. Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa mengesahkan bahawa perkhidmatan perisikan negara itu kini menyiasat individu atau organisasi di belakang pesawat sewaan tersebut.

Menurut laporan, sebuah persatuan yang dikendalikan oleh seorang lelaki dengan dua kewarganegaraan Israel dan Estonia menjual tempat duduk penerbangan dari Gaza ke negara jauh seperti Indonesia, Malaysia dan Afrika Selatan pada harga sekitar USD2,000 setiap seorang. Walaupun laman web pertubuhan itu mendakwa ia beroperasi dari Jerman dan mempunyai pejabat di Baitulmaqdis Timur, siasatan Haaretz mengesahkan ia sebenarnya berdaftar di Estonia dan bergerak melalui syarikat perunding hadapan.

Kementerian Pertahanan Israel melalui Direktorat Migrasi Sukarela dilaporkan mengarahkan aktiviti entiti tersebut kepada COGAT, badan tentera yang mengurus koordinasi di wilayah Palestin. Beberapa penerbangan dikatakan telah berlepas dari Lapangan Terbang Ramon dalam beberapa bulan kebelakangan ini, membawa kumpulan rakyat Palestin dalam jumlah yang menunjukkan satu corak yang hampir sistematik.

Akhbar Yedioth Ahronoth pula mendedahkan peranan sebuah pertubuhan bernama Al Majd yang beribu pejabat di Baitulmaqdis yang diduduki. Sejak 2010, pertubuhan itu mendakwa membawa rakyat Palestin keluar atas nama bantuan kemanusiaan dan usaha membantu masyarakat Islam di kawasan konflik. Seorang pegawai tentera Israel yang tidak dinamakan memberitahu akhbar itu bahawa bas yang membawa rakyat Palestin dari dalam Gaza diiringi tentera ke persimpangan Kerem Shalom sebelum mereka dipindahkan ke Lapangan Terbang Ramon untuk penerbangan antarabangsa.

Pihak hak asasi manusia memberi amaran bahawa operasi yang dilakukan secara tertutup ini berpotensi menjadi sebahagian daripada agenda lebih besar untuk mengalihkan penduduk Palestin dari Gaza. Ketua COGAT Ghassan Alian dilaporkan berkata bahawa pemergian rakyat Palestin hanya berlaku selepas Israel menerima persetujuan daripada negara ketiga, walaupun negara tersebut tidak dinamakan. Israel sebelum ini turut dilaporkan cuba berbincang dengan beberapa negara, termasuk Sudan Selatan, untuk menerima rakyat Palestin dari Gaza.

Sejak bermulanya serangan Israel pada Oktober 2023, hampir 40,000 rakyat Palestin dilaporkan telah keluar dari Gaza melalui pelbagai laluan. Dalam tempoh sama, lebih 69,000 yang terkorban dan lebih 170,700 cedera akibat serangan berterusan.

Sumber: AA

Related Articles

Back to top button