Sekumpulan peneroka haram Israel bersenjata bertindak menembak mati seorang wanita warga emas Palestin dan mencederakan 10 orang awam yang lain berhampiran Jericho di Tebing Barat yang diduduki, menurut pengesahan pegawai perubatan di Hospital Kerajaan Jericho.
Berdasarkan laporan lapangan Palestin, serangan ganas itu berlaku di kampung Al-Duyuk al-Tahta, di bahagian barat bandar berkenaan, apabila peneroka haram bersenjata mengepung rumah-rumah kediaman rakyat Palestin sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk tempatan.
Pihak berkuasa hospital memaklumkan bahawa wanita yang terkorban dalam insiden itu berusia 60 tahun, manakala seorang lelaki berusia 65 tahun merupakan antara 10 mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan luka tembakan.
Pasukan tentera Israel dilaporkan turut memasuki kampung terbabit ketika kejadian tembakan berlaku antara peneroka haram dan penduduk tempatan.
Pihak tentera dalam pada itu mengesahkan bahawa anggota mereka telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan bertindak mendirikan sekatan jalan raya di laluan-laluan sekitar kawasan berkenaan.
Rentetan Serangan Ganas Peneroka Haram
Kejadian tembakan maut itu berlaku susulan satu lagi serangan ganas pada Isnin di bandar Tuqu, tenggara Bethlehem, apabila seorang peneroka haram Israel bertindak memandu sebuah kenderaan lalu merempuh sekumpulan penduduk Palestin, mengakibatkan lapan orang cedera.
Mangsa yang cedera di Tuqu turut merangkumi orang ramai dan jiran-jiran yang bergegas tampil ke hadapan bagi memberikan bantuan kecemasan awal kepada mangsa pertama rempuhan kenderaan tersebut.
Susulan insiden itu, Kementerian Luar Palestin mengecam keras serangan rempuhan kenderaan di Tuqu sebagai satu “serangan pengganas”, selain menuntut pertanggungjawaban masyarakat antarabangsa terhadap pemandu berkenaan serta pihak-pihak yang memberikan perlindungan undang-undang dan ketenteraan kepadanya.
Sumber: TRT World & Agensi







