PalestinSemasa

Kumpulan Bantuan Desak Tindakan Segera Selepas PBB Tegaskan Israel Lakukan ‘Pembunuhan Beramai-ramai’ di Gaza

Lebih 20 organisasi bantuan antarabangsa mendesak pemimpin dunia segera bertindak selepas Suruhanjaya Siasatan PBB buat pertama kalinya menyimpulkan bahawa Israel sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Doctors Without Borders (MSF) International pada Rabu, kumpulan itu menegaskan PBB mempunyai mandat moral dan undang-undang untuk menghentikan krisis kemanusiaan terbesar abad ini.

“Apa yang berlaku di Gaza bukan sekadar tragedi kemanusiaan, tetapi kini disahkan PBB sebagai pembunuhan beramai-ramai. Gaza sengaja dijadikan tidak boleh didiami,” kata kenyataan itu.

Antara yang menandatangani surat berkenaan ialah Christopher Lockyear (MSF International), Jan Egeland (Majlis Pelarian Norway), Amitabh Behar (Oxfam International), Inger Ashing (Save the Children International), dan Arthur Larok (ActionAid International). Mereka memberi amaran lebih 65,000 rakyat Palestin terbunuh – termasuk lebih 20,000 kanak-kanak – manakala sembilan daripada 10 penduduk telah dipindahkan secara paksa.

Suruhanjaya Siasatan PBB menyatakan tentera Israel telah melakukan “empat daripada lima” tindakan pembunuhan beramai-ramai di bawah Konvensyen 1948, termasuk pembunuhan, mencederakan fizikal dan mental secara serius, mewujudkan keadaan hidup yang bertujuan memusnahkan sesuatu kumpulan, serta menghalang kelahiran.

Organisasi bantuan itu turut menegaskan lebih setengah juta rakyat Palestin kini berdepan kebuluran, dengan krisis makanan di Gaza telah pun diisytiharkan. “Jika dunia terus berdiam diri, sejarah akan menilai kegagalan ini sebagai pengkhianatan terhadap kemanusiaan,” kata kenyataan itu.

Sumber: Anadolu Agency

Related Articles

Back to top button