Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengandungi klausa yang menjamin kedaulatan negara, selain pelaksanaannya dibuat berdasarkan kepentingan serta keselamatan ekonomi negara berpandukan undang-undang dan peraturan domestik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, menerusi perjanjian itu, AS bersetuju supaya setiap langkah berkaitan ketidakseimbangan perdagangan perlu melalui mekanisme rundingan bagi mencapai kesefahaman bersama.
“Sebagai contoh, Artikel 5.1.1 tidak boleh dilihat sebagai Malaysia tunduk kepada sekatan AS terhadap negara lain. Frasa ‘mengikut undang-undang dan peraturan domestik’ serta ‘dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak’ memberi ruang undang-undang dan diplomatik kepada Malaysia untuk mengelak daripada mengambil tindakan ke atas negara-negara lain,” katanya pada sesi penerangan khas di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menjelaskan Malaysia hanya perlu berbincang dengan AS, dan sekiranya perlu mengambil tindakan perdagangan, ia dilakukan berdasarkan undang-undang domestik dengan mekanisme dan garis masa sendiri.
Beliau menambah, sebarang tindakan yang diambil Malaysia di bawah perjanjian itu hanya melibatkan isu yang menjadi kebimbangan ekonomi bersama dengan AS.
AS kini merupakan kuasa ekonomi terbesar dunia serta pasaran eksport utama Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala pada tahun 2024 mencecah RM325 bilion dan eksport Malaysia ke AS berjumlah RM198.65 bilion. Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah eksport Malaysia ke AS ialah RM166.38 bilion.
“Ini pasaran penting buat Malaysia. Walaupun berdepan tekanan tarif timbal balas bersifat unilateral oleh kerajaan AS, kita perlu mempertahankan akses kepada pasaran ini. Tiada pilihan lain kecuali berunding demi kepentingan negara dan ekonomi kita,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia memulakan rundingan dengan AS seawal Mei 2025 bagi mendapatkan kadar tarif lebih rendah supaya barangan eksport tempatan kekal berdaya saing. Pendekatan itu, katanya, lebih menguntungkan berbanding langkah tidak bertindak atau mengenakan tindakan balas terhadap AS.
Pada 2 April 2025, Malaysia dikenakan tarif 24 peratus oleh AS, sebelum dinaikkan kepada 25 peratus pada Julai 2025 berikutan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.
Sebagai hasil rundingan selama enam bulan, hubungan dua hala Malaysia-AS telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. Malaysia turut berjaya menurunkan kadar tarif yang dikenakan AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, iaitu kadar terendah bagi negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.
“Sekiranya Perjanjian ART ini tidak dimeterai segera, Malaysia berisiko berdepan semula kadar tarif asal iaitu 24 peratus atau lebih tinggi,” kata Tengku Zafrul.
Sumber: Bernama
 
  
  
  
 






